Pengikut

Sabtu, 5 Mei 2012

Tuntutan Bersih tak dijawab, rakyat dilayan seperti penjenayah

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak menjawab tuntutan rakyat berhubung pilihan raya bersih dan adil, sebaliknya memperlakukan demonstran pada 28 April lalu seperti penjenayah.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Malam Gala KEADILAN, bertempat di One World Hotel, Petaling Jaya semalam.

Mengulas keganasan polis terhadap peserta himpunan Bersih 3.0, Anwar menyifatkan ia tradisi kerajaan zalim berdepan penentangan rakyat.
“Pendirian saya, ia adalah contoh klasik sebuah regim kuku besi, yang menindas dan menekan rakyat yang tidak bersalah, hanya kerana bangkit melawan.

“Permintaan mereka (berhubung tuntutan Bersih) tidak dijawab, sebaliknya dilayan seperti penjenayah,” katanya dihadapan kira-kira 10,000 hadirin.

Sabtu lalu, 300,000 rakyat berhimpun menuju ke Dataran Merdeka bagi menuntut kerajaan melaksanakan pilihan raya yang adil.

Bagaimanapun, himpunan Duduk Bantah itu dicemari dengan keganasan polis, menyaksikan peserta Bersih termasuk wartawan cedera.

Semalam, KEADILAN menganjurkan majlis makan malam, dengan tujuan mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya umum ke-13.

Majlis bermula pada pukul 8 malam dan hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian, lawak pentas dan lakonan dari kumpulan Teater Bukan Teater.

Bekas Presiden MIC, Datuk Muthu Palaniappan turut mengumumkan menyertai KEADILAN bersama penyokongnya, dan menyerahkan kalungan bunga kepada Anwar.

Hadirin juga berpeluang beramah mesra dengan pimpinan KEADILAN sepanjang majlis berlangsung, yang berakhir pada pukul 11 malam. -Keadilandaily

Tiada ulasan: