Pengikut

Khamis, 8 Mac 2012

KL Eco City ada kaitan dengan Shahrizat?

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menuntut penjelasan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung pendedahan terbaru Rafizi Ramli bahawa suami Ketua Wanita Umno itu membeli 8 unit hartanah di KL Eco City.

Ini kerana kata Izzah, beliau pernah mempertikaikan tindakan kerajaan memindahkan kira-kira 1,000 penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum akibat projek di KL Eco City.

Kampung Abdullah Hukum terletak dalam Parlimen Lembah Pantai dan semasa mula-mula isu itu berbangkit, Shahrizat mewakili kawasan itu sebelum tewas di tangan Izzah pada 2008.

“Pertamanya, pembelian hartanah itu menimbulkan persoalan pertembungan kepentingan ‘conflict of interest’ antara tugas Shahrizat yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan kemahuan peribadi keluarga beliau.

“Dalam kes pembangunan KL Eco City, ia melibatkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah yang tidak diberi pampasan di mana Shahrizat tidak memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Projek itu kata Izzah bernilai RM6 bilion melalui usaha sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SP Setia Setia yang juga syarikat berkaitan Umno.

“Shahrizat perlu menjelaskan samada beliau berperanan mempengaruhi keputusan sehingga penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum ini dipindahkan.

“Jika Shahrizat sambil lewa memperjuangkan hak rakyat di situ, ia juga menimbulkan persoalan samada pemindahan itu ada kaitan dengan keluarga beliau yang berhasrat membeli hartanah di KL Eco City seperti didedah Rafizi hari ini,” katanya lagi.

Pada sesi Parlimen lalu, Izzah mendedahkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersama beberapa pimpinan parti itu membuat keuntungan atas angin sebanyak RM75 juta dalam projek itu.

Ia berlaku selepas Yayasan Gerakbakti Kebangsaan melalui anak syarikatnya YGP Holdings menjual kepentingannya dalam projek itu kepada SP Setia yang kini memiliki kepentingan 40 peratus dalam projek itu selain DBKL 60 peratus.

Dalam pendedahan hari ini, Izzah sekali lagi menunjukan bukti bahawa YGP Holdings dimiliki bersama Ahli Parlimen Umno Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta beberapa pimpinan Umno selain Khairy selaku pengarah bersama syarikat itu.

Manakala Yayasan Gerakbakti Kebangsaan didakwa dimiliki Menteri Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.-KD

Tiada ulasan: