Pengikut

Sabtu, 26 November 2011

Perwakilan: Renung kembali Deklarasi Permatang Pauh

JOHOR BAHRU 26 Nov: Perwakilan Melaka, Abdul Wahab Ibrahim meminta ahli dan pimpinan KEADILAN supaya merenung kembali Deklarasi Permatang Pauh yang dibacakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Katanya, semangat terkandung dalam deklarasi berkenaan perlu dilaksana dalam gerak kerja parti itu.

“Sebab itu keseluruhan pimpinan di atas perlu luangkan masa untuk buat jadual ke negeri yang belum menang. Di Johor, Umno dah kalah di dua kerusi.

“Ini bermakna Umno paling kuat di Melaka sebab tak pernah kalah. Sebabnya tak pergi ke ceramah dan tak tahu. Bermakna kita menjadi mata dan telinga kepada parti,” kata Abdul Wahab dalam usul perbahasan ucapan Presiden di Kongres KEADILAN ke lapan.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan bekas pegawai Bank Bumiputera, bertanyakan sama ada Umno pernah memulangkan pinjaman berjumlah RM368 juta dari bank berkenaan.

“Saya ada tanya perkara ini pada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar agar ia dibangkitkan di Parlimen. Saya dulu bekas pegawai di Bank Bumiputra,”

“Umno kata nak pertahankan orang Melayu, tapi Bank Bumiputra pun tak dapat nak pertahankan. Apakah pinjaman Umno yang berjumlah RM368 juta itu telah diselesaikan?” soal Abdul Wahab yang kini berniaga secara kecil-kecilan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (Bippa), Ahmad Kassim menyarankan supaya budaya dialog dan perbicangan sesama masyarakat disuburkan bagi mengatasi sentimen kaum dan agama di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, cara itu mampu mengekang tindakan Umno yang menggunakan isu kaum dan agama demi kepentingan politik sempit mereka.

“Matlamat akhir budaya dialog ini bertujuan mengharmonikan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam negara,” katanya dalam menyokong ucapan dasar Presiden.-KD

Tiada ulasan: