LABIS 23 JAN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak keberatan untuk menukar topik perdebatan daripada isu ekonomi kepada hal peribadi jika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak terus menyerang beliau secara berterusan.
Beliau berkata Najib masih belum menerima pelawaannya untuk berdebat tentang ekonomi berdasarkan 'Buku Jingga' Pakatan Rakyat sebaliknya memperlekeh isu peribadi beliau.
Anwar yang turun ke Labis-Tenang dalam kempen Pilihanraya Kecil DUN itu berpendapat Najib seharusnya menyahut cabaran debat beliau agar rakyat terdedah dengan maklumat daripada pihak pembangkang seraya mampu menilai keberkesanannya.
Tambahnya, fokus tertumpu kepada pendekatan alternatif Pakatan Rakyat yang boleh memberi ruang masyarakat untuk membandingi dengan program kerajaan.
"Demam pun saya mampu debat, tapi tajuk ekonomi. Datuk Najib tidak mahu debat ekonomi, mahu tajuk peribadi, tidak mengapa boleh. Tajuk pertama ekonomi, tajuk kedua peribadi. Dia (Najib) kata Anwar ini akhlak rendah peliwat, tidak mengapa bawa bukti. Saya akan menyebut rampas bini orang, rasuah RM500 juta, pembunuhan Altantuya, jawab. Saya tidak mahu tanya, sila jawab. Mahu tengok siapa yang kena londeh," tegas beliau dalam ceramahnya di Felda Tenang malam tadi.
Katanya, tuduhan Najib Razak mengatakan bahawa negara akan muflis sekiranya pelaksanaan program 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat diketahui sekiranya beliau tidak diberi peluang untuk menjelaskan.
Antara reformasi yang dijanjikan PR adalah memberi insentif tambahan berjumlah RM500 kepada tenaga pendidik di negara ini selain bercadang untuk menurunkan harga minyak dan memansuhkan tol.
"Kalau kita (PR) rancang buat banyak-banyak dalam masa 5 tahun, orang tidak cukup yakin. Dalam masa 100 hari kita hendak buat. Ini yang kita umum Buku Jingga," jelas beliau.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu laporan daripada badan antarabangsa Integriti Kewangan Global (GFI) menyatakan pemindahan dana haram ke luar negara melebihi RM200 bilion.
Tegasnya, wang ini adalah datang daripada rasuah dan lari cukai oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional kini selain berpendapat ini merupakan sebahagian daripada punca negara akan muflis sekiranya dibiarkan berterusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan