Pengikut

Sabtu, 26 November 2011

Pengkhianat tidak jejas KEADILAN - Saifuddin

JOHOR BAHRU 26 Nov: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menegaskan wakil rakyat yang bertindak mengkhianati dan keluar dari parti itu sebelum ini, tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap KEADILAN.

Perkara itu katanya, dibuktikan apabila Cabang Kulim Bandar Baharu misalnya mencatatkan pertambahan keanggotaan kedua tertinggi bagi tahun ini.

“Ahli Parlimen Bandar Baharu, Zulkifli Nordin sentiasa diberi ruang oleh media Umno khasnya Utusan Malaysia, RTM untuk menyerang KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

“Adakah ia menjejaskan sokongan parti? jawapannya tidak,” katanya menjawab soalan media pada Kongres Nasional yang diadakan di Pulai Spring Resort, di sini.

Mengulas lanjut katanya, pertambahan keanggotaan di cabang itu membuktikan KEADILAN sentiasa diberi kepercayaan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU)-13 akan datang.

Awal pagi tadi, dalam ucapannya, beliau mengumum Cabang Kulim Bandar Baharu mencatat keanggotaan baru seramai 790 orang, iaitu kedua tertinggi selepas Cabang Tenom yang mencatat 812 anggota baru bagi tempoh sama.

Sijil penghargaan anugerah cabang itu disampaikan sendiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lain-lain cabang yang berjaya mencatat pendaftaran keanggotaan baru dalam 10 cabang tertinggi termasuklah Hulu Selangor seramai 340 orang, Kalabakan (370 orang), Permatang Pauh (395), Gombak (405), Kota Marudu (425), Kapar (446), Serian (673), Kuala Langat (751) dengan Cabang Tenom menyaksikan paling ramai sepanjang tahun ini iaitu sebanyak 812 anggota.

KEADILAN memiliki 218 cabang dan empat lagi kini bertaraf penaja serta menunggu kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan (ROS).-KD

Tiada ulasan: