Pengikut

Rabu, 26 Oktober 2011

Audit dedah kepincangan projek untuk rakyat miskin- Anwar

KUALA LUMPUR 25 Okt: Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan begitu banyak kelemahan, kepincangan dan penyelewengan projek yang turut disasarkan untuk rakyat termiskin, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengaibkan adalah pendedahan terhadap kepincangan beberapa
aktiviti dan projek yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan rakyat termiskin,” kata Anwar yang turut membidas kelewatan laporan Audit itu dikeluarkan.

Antaranya, kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM691.52 juta pada tahun 2010.

Begitu juga kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah Kementerian Pertanian yang mendedahkan kegagalan Kerajaan membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana peruntukan tidak mencukupi.

Selain itu, kata Anwar, laporan Audit juga menunjukkan kelemahan pengurusan penyelenggaraan jalan persekutuan yang diswastakan di Sarawak, selepas RM462.46 juta dibelanjakan.

Ia juga termasuk kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 2 di pelbagai kementerian dan jabatan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.

Anwar berkata, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan kelemahan dan ketirisan, namun ternyata ia masih belum dipenuhi.

“Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan dan menjadi bukti kegagalan dasar transformasi yang dirangka Perdana Menteri,” kata Anwar.

Katanya, Pakatan Rakyat menegaskan segala Perubahan dan reformasi sistem yang menyeluruh memerlukan iltizam politik yang jitu serta ikhlas demi manfaat rakyat Malaysia.

“Tanpa iltizam serta kegigihan dan tiadanya penyertaan rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara ini, segala kebijakan mahupun dasar yang dirangka pastinya menemui kegagalan,” kata Anwar.

Tiada ulasan: