Pengikut

Jumaat, 25 November 2011

Anak muda peneraju demokrasi tulen

JOHOR BAHRU 25 Nov: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menghargai sumbangan anak muda dan golongan wanita dalam membina negara dengan mengiktiraf mereka sebagai peneraju demokrasi tulen.

Pengiktirafan ini disampaikan beliau dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pagi ini.

“Generasi muda mempunyai tanggungjawab besar melakar negara demokratik.

“Maka, Angkatan Muda (KEADILAN) dan Wanita harus menggembleng usaha dan kekuatan untuk memastikan agenda reformasi berjaya.

“Perjuangan cita-cita murni rakyat untuk perubahan harus diterajui KEADILAN,” kata Azmin.

Beliau membandingkan peranan anak muda dan wanita dalam KEADILAN yang berjuang secara sukarela dengan usaha terdesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa meraih sokongan anak muda dengan pelancaran Kelab Media Sosial 1Malaysia beberapa minggu lalu.

“Usaha ini memperlihatkan kedangkalan Perdana Menteri dan penasihat medianya menanggapi lanskap media sosial dan mengapa anak muda tuntas menggunakan wacana ini untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Warga media sosial tidak mahu diperalat untuk politik fitnah dan maki hamun,” kata Azmin.

Azmin juga berasa gembira dengan pengiktirafan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang memberikan lebih banyak ruang kepada anak muda untuk menyumbang kepada parti.

“Saya menerima senarai calon (pilihan raya) yang dikemukakan MPN, Wanita dan AMK.

“Saya gembira anak-anak muda diberikan kepercayaan untuk ditampilkan sebagai calon.

“Saya akan mengangkat perkara ini kepada Presiden dan Biro Politik supaya anak muda dan wanita diberikan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke-13,” kata Azmin. -KD

Tiada ulasan: