Pengikut

Selasa, 24 April 2012

KMPP 'tak matang' cadang Melayu DAP tanding Bayan Baru

PKR menganggap Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) tidak matang kerana badan bukan kerajaan (NGO) itu mendesak DAP meletakkan calon Melayu di Parlimen Bayan Baru.
 
Setiausaha Jentera PKR Cabang Bukit Mertajam, Ikhwan Nasser Mohamad Isa (kiri) berkata, tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim meninggalkan PKR dan mengumumkan diri sebagai wakil rakyat Bebas sebenarnya langsung tidak menjejaskan tapak sokongan rakyat kepada PKR.
 
"KMPP sila nyatakan berapa ramai (ahli atau penyokong PKR) yang turut lompat mengikut Zahrain.
 
"(Desakan KMPP) tidak wajar untuk DAP mengambil alih kerusi Parlimen yang ditandingi PKR pada PRU 2008 yang lepas dengan hanya memberikan alasan calon Bayan Baru iaitu Dato Zahrain lompat parti dan kawasan tersebut majoriti cina amatlah dangkal dan tidak mencerminkan kematangan politik mereka," ujarnya yang juga Setiausaha bersama Majlis Pakatan Rakyat Parlimen Bukit Mertajam.
 
Menurut beliau, kepemimpinan parti telahpun mengaku bersalah kerana memilih Zahrain yang juga Pengerusi PKR PUlau Pinang semasa Mac 2008 untuk bertanding di kerusi majoriti Cina itu.
 
"Kesilapan meletakkan calon lompat di Bayan baru diakui tetapi atas semangat Pakatan wajar PKR bertanding semula di kerusi Bayan Baru," ujarnya.
 
Beliau berkata, Pengerusi KMPP Rahmad Isahak (kanan) sepatutnya mendesak DAP meletakkan calon Melayu di "kubu kuat Umno" sekiranya beliau sendiri yakin dengan wibawa DAP untuk menumbangkan pembangkang di negeri berkenaan.
 
"Jangan hanya mahukan kerusi yang selamat dan membelakangkan semangat Pakatan yang telah dibina," ujarnya.
 
 
Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan bahawa PKR Cabang Bukit Mertajam akan mengutus lebih 200 penyokong parti atau lima buah bas ke himpunan aman Bersih 3.0 di Dataran Merdeka bagi melengkapkan sasaran mobilisasi 500,000 rakyat Malaysia menuntut reformasi sistem pilihan raya daripada pentadbiran Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak.
 
"Walaupun kerajaan negeri menetapkan akan menganjurkan bersih di padang kota lama namun kita lebih berminat untuk melengkapkan mobilisasi di Kuala Lumpur memandangkan kali ini Dataran Merdeka diharamkan untuk berhimpun.
 
"Kita bertanggungjawab untuk memastikan kita tetap akan duduk bantah di dataran merdeka seperti yang telah dirancangkan," tegas beliau yang juga pemimpin NGO Malaysia Bangkit Langgar Rejim (Lang-Gar!).
 

Tiada ulasan: