Pengikut

Rabu, 16 Mei 2012

Pengurusan bantah penyenaraian FGVHB

PETALING JAYA: PKR mendedahkan laporan Boston Consulting Group (BCG) mengenai kaji selidik yang jelas menunjukkan rancangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) mendapat bantahan daripada pihak pengurusan tertinggi Felda.

Menurut Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli kaji selidik yang melibatkan 30 ahli pengurusan tertinggi Felda itu menunjukkan lebih separuh (55 peratus) ahli pengurusan Felda tidak bersedia manakala 20 peratus sahaja menyokong penyenaraian tersebut.

Rafizi mendakwa 65 peratus daripada pengurusan tertinggi Felda percaya bahawa proses penyenaraian ini akan menemui kegagalan memandangkan Felda masih belum bersedia.

Ujar beliau, adalah menjadi tanggungjawab Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Pengerusi Felda (Tan Sri Mohd Isa Samad) memberi penjelasan mengapa pandangan dan bantahan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira.

Pada 18 Oktober 2011 pengurusan FGVHB telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian Ketiga yang dipengerusikan Isa.

Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGVHB dan penstrukturan semula organisasi yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.

“Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan Barisan Nasional (BN) mendapat tentangan hebat daripada kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri.

“Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka.

“Bantahan daripada pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Najib, Isa ketepikan bantahan

BCG adalah salah satu daripada juru runding yang dilantik untuk menerajui proses penyenaraian ini.

Selain menyediakan pelan dan langkah-langkah penyenaraian, BCG juga bertanggungjawab menilai kesediaan dan pandangan pihak pengurusan Felda mengenai tindakan BN menyenaraikan FGVHB dan aset-aset milik Felda.

“Adalah menjadi tanggungjawab Najib dan Isa untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan bantahan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan juga.

“Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan tidak melantik muka-muka baru yang

lebih cenderung untuk mengikut kehendak BN bagi mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda,” jelasnya. - Free Malaysia Today

Tiada ulasan: