Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, pendekatan yang digunakan Pakatan Rakyat lebih dinamik berbanding amalan tradisi Umno Barisan Nasional yang menggunakan pendekatan fitnah lucah misalnya untuk menarik perhatian rakyat.
'Tour Jingga' yang dilancarkan semalam menyaksikan kira-kira 20,000 risalah berkaitan Buku Jingga Pakatan Rakyat diedar menggunakan pengangkutan awam PUTRA LRT dan akan berlangsung sepanjang April ini.
Shamsul ketika ditemui pemberita menjelaskan, pendekatan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga lebih bertepatan dengan aliran politik semasa di
negara ini.
“Tentunya pendekatan ini berbeza dengan pendekatan Umno-Barisan Nasional yang menggunakan politik fitnah, mengedarkan filem lucah dan sebagainya, tetapi kita lebih sesuai dan relevan untuk menunjukkan cara politik yang lebih baru dan dinamik iaitu menyebarkan maklumat yang betul dan fakta supaya rakyat Malaysia kita ajak untuk berfikir memilih parti berdasarkan dasar yang diperjuangkan ataupun program yang kita cadangkan kepada rakyat.
“Kita lakukan ini kerana kita ingin menyebarkan maklumat dan risalah jingga ini yang mengandungi program 100 hari Pakatan Rakyat yang kita rasakan penting untuk rakyat Malaysia terutamanya orang muda untuk mengetahui pendirian atau program kita sekiranya kita memenangi kerajaan persekutuan pada pilihanraya akan datang,” katanya.
Buku Jingga menggariskan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil- setara.
Menurut Shamsul lagi, 'Tour Jingga' merupakan sebahagian daripada perlaksanaan kempen yang dilakukan lebih awal bagi menghadapi pilihanraya umum yang bakal berlangsung bila-bila masa.
" Ya, ia sebahagian daripada program kita. Pakatan tidak percaya kepada kempen dalam tempoh singkat. Jadi kita lakukannya lebih awal dan akan melakukan yang sama di Sarawak,"tambah beliau.
Risalah yang diedarkan semalam turut memuatkan alamat laman sesawang, Twitter dan Facebook Buku Jingga.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat Buku Jingga boleh melayari :-
www.bukujingga.com
Twitter : @bukujingga dan
Facebook : Buku Jingga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan