Terbaru, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli membongkarkan perbelanjaan kad kredit keluarga Shahrizat sepanjang 2009 mencecah RM593,500 menggunakan wang National Fidlot Corporation (NFC).
“Pendedahan sebegini akan diteruskan sehinggalah Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan yang melambangkan beliau dan rakan-rakan kabinet beliau menerima sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas penyelewengan yang berlaku di dalam NFC,” kata Rafizi dalam kenyataannya.
Justeru itu, beliau mengulangi desakan supaya Najib menggantung penglibatan keluarga Shahrizat di dalam NFC dan melantik pentadbir sementara untuk menguruskan NFC.
“KEADILAN mengulangi desakan supaya Najib bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan keluarga Shahrizat dalam operasi NFC dan melantik pentadbir korporat untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang berlaku.
Menurut Rafizi tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:
1. Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu dibekukan;
2. Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;
3. Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat perlu dihentikan serta-merta; dan
4. Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.
“Sekiranya ini tidak berlaku, KEADILAN tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Najib,”ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, 2 petang esok, Jingga 13 yang diketuai Fariz Musa akan membuat satu lagi laporan di Balai Polis Dang Wangi mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Shahrizat menggunakan wang rakyat yang dipinjamkan kepada NFC. -KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan