Pengikut

Khamis, 11 Ogos 2011

Wan Ahmad, SPR tali barut Umno

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Fuziah salleh menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhan Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menunjukkan badan itu sebenarnya tidak bebas dan berat sebelah.


Beliau diminta mengulas kenyataan Wan Ahmad yang mendakwa Pakatan Rakyat mengulangi agenda politik kotor untuk menang PRU-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.

Kenyataan Wan Ahmad itu disiarkan Utusan Malaysia- sebuah akhbar milik Umno hari ini.

“Saya nak nasihatkan Wan Ahmad agar hentikanlah dari menjadi tali barut umno dan bersifat berat sebelah”, kata ahli parlimen Kuantan itu.

“Dia (Wan Ahmad) kena ingat gaji yang dia dapat merupakan wang yang dibayar oleh rakyat. Jadi berkhidmatlah untuk rakyat dan bukannya untuk Perdana Menteri”
“Insaflah, lebih-lebih lagi bulan puasa ni. Jangan asyik memberikan kenyataan untuk memuaskan UMNO dan menjadi agen mereka,” kata Fuziah.

Menurut Fuziah, SPR berterusan menafikan kewujudan pengundi hantu seperti isu pengundi berusia lebih 100 tahun, pengundi berstatus penduduk tetap (PR) yang berdaftar sebagai pengundi, pengundi klon dan pelbagai kesilapan  daftar pemilih SPR.

Katanya, penafian itu dilakukan bagi menutup kesalahan mereka, sebaliknya badan itu pula menuding jari kepada Pakatan Rakyat kononnya menyebarkan fitnah dengan mengada-adakan cerita.

“(Sudah tentu) mereka (SPR) boleh betulkan semula dalam sistem (daftar pemilih) kerana hanya mereka yang berkuasa ke atas semakan daftar pemilih SPR tersebut,” kata Fuziah.

Sebelum ini, Pakatan mendedahkan pelbagai bukti kepincangan dalam daftar pemilih SPR, termasuk kewujudan pengundi yang berumur lebih 100 tahun.

Ia termasuk isu Mismah- seorang penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih SPR baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa 200,000 warga asing didaftarkan sebagai pengundi.

Manakala kerajaan Pulau Pinang pula mengesan 30,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan dalam daftar pemilih SPR.

SPR juga mencipta sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung yang diberi nama ‘Kg Baru’, yang tidak ada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, sebelum membetulkan rekod itu beberapa jam kemudian.

Terbaru, beberapa pengundi dikesan memiliki dua nombor kad pengenalan yang berlainan dan mempunyai kelayakan mengundi di dua tempat berbeza  sepertimana  dalam daftar pemilih SPR.

Tiada ulasan: