Pengikut

Jumaat, 27 April 2012

AMK desak PM tarik balik perintah larang Bersih 3.0


SHAH ALAM - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Khai Loon kecewa dengan tindakan polis untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk melarang Bersih 3.0 mendekati Dataran Merdeka, mulai esok hingga 1 Mei dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan larangan itu.

Khai Loon berkata, AMK berpendapat tindakan polis telah menyebabkan usaha kerajaan Umno-BN untuk memulih imej transformasi dan terbuka menjadi slogan kosong sahaja.

"Sebenarnya kerajaan mempunyai peluang keemasan untuk membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling demokrasi di dunia, malangnya telah gagal menangani Himpunan Bersih 3.0 dengan bijaksana dan menyebabkan keadaan yang tegang.

"Sekiranya Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein (gambar) telah menyatakan bahawa Bersih 3.0 tidak menggugat keselamatan negara, maka beliau perlu memastikan bahawa dibenarkan untuk berhimpun dengan aman," kata beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kerajaan perlu menghormati hasrat rakyat dengan menarik balik perintah larangan serta memastikan tuntutan Bersih 3.0 untuk reformasi sistem pilihan raya dapat dijalankan.

Tambah beliau, kerajaan tidak perlu memburuk-burukkan gerakan duduk-bantah Bersih 3.0 atau menuduh perhimpunan aman sebagai penyebab huru-hara kepada masyarakat.

"Dari Himpunan Bebaskan Anwar 109 ke Himpunan Hijau 226 telah menunjukkan bahawa peserta himpunan adalah berdisiplin dan rasional.

"Kedua-dua himpunan telah membuktikan bahawa dengan adanya kerjasama yang rapat di antara polis dan rakyat, tidak mustahil untuk mengadakan himpunan aman tanpa sebarang keganasan polis untuk tekan hak berhimpun," katanya lagi.

Oleh itu, kata beliau, AMK menyeru  Najib agar tidak terus berdiam diri atau lari daripada isu kelulusan untuk Bersih 3.0 mengguna Dataran Merdeka.

"Perdana Menteri perlu menunjukkan keyakinan pimpinan dengan memperbetulkan karenah birokrasi serta mempertahankan hak untuk berhimpun.

"Hanya dengan membenarkan Bersih 3.0 berhimpun di Dataran Merdeka barulah boleh menunjukkan keikhlasan dan iltizam politik Najib untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan," kata beliau lagi.

-SinarHarian

Tiada ulasan: