Pengikut

Rabu, 21 Disember 2011

Seramai 130 Ahli PKR Permatang Pauh sertai Umno hanya satu gimik PRU13

Timbalan Ketua AMK Permatang Pauh Saudara Afzal Khan, Menafikan bahawa seramai 130 orang ahli PKR Cabang Permatang Pauh keluar parti dan menyertai Umno.

Dari apa yang di laporkan pihak media (Bernama) itu hanyalah gimik politik untuk meraih sokongan rakyat pada pilihanraya ke 13 nanti, Hanya Abdul Wahab Rahman dan beberapa orangnya sahaja yang keluar parti.

AMK Permatang Pauh mencabar bekas ketua PKR ranting Tanah Liat, Abdul Wahab membuktikan yang 130 orang itu ahli PKR dari ranting Tanah Liat.

Berita di bawah dari Bernama:

130 Anggota PKR Permatang Pauh Sertai Umno

BUKIT MERTAJAM, 21 Dis (Bernama) -- Seramai 130 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Parlimen Permatang Pauh Rabu bertindak keluar parti itu dan menyertai Umno setelah kecewa dan hilang kepercayaan dengan kepimpinan PKR.

Kumpulan itu menyerahkan borang keanggotaan untuk menyertai Umno kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dalam satu majlis di Kampung Tanah Liat Mukim 9, di sini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Ketua Cawangan PKR Tanah Liat sebelum ini Abdul Wahab Rahman,70, berkata mereka terpaksa meninggalkan parti yang sekian lama disanjung itu setelah mula melihat kepincangan dalam PKR.

"Sudah lama saya fikir dan perhatikan perjalanan PKR dan selepas 11 tahun ditubuhkan ia kini sudah tidak lagi relevan.

"Mereka (pemimpin PKR) langsung tidak pedulikan masalah rakyat terutama kami di sini, jadi saya rasakan sudah tiba masanya kami berubah haluan dan kembali kepada perjuangan Umno," katanya kepada pemberita.

Mohd Nasir Yob, 40, yang mewakili ranting PKR Bukit Berangan berkata mereka juga sepakat untuk keluar PKR selepas kecewa dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti Datuk Mansor Othman yang didakwa mengabaikan rakyat di Bukit Berangan.

Katanya selepas hampir empat tahun menjadi Adun Penanti, tiada apa yang disumbangkan wakil rakyat itu sama ada daripada segi kebajikan mahupun infrastruktur kepada penduduk, menyebabkan mereka putus asa dan mengambil keputusan menyertai Umno.

Zainal Abidin yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata pihaknya dengan hati terbuka menerima kemasukan bekas anggota PKR itu ke dalam Umno. - BERNAMA

Tiada ulasan: