Pengikut

Rabu, 22 Februari 2012

AMK cabar Pemuda Umno bantah Najib

KUALA LUMPUR 22 Feb: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membantah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak ekoran kemasukan kapal kargo Israel ke Malaysia.

“Apa pendirian Khairy mengenai pendedahan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel dan mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang,” soal Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Sekiranya benar mereka (Pemuda Umno) komited dengan sentimen anti-Israel yang sedang dilaungkan ini, AMK mencabar Khairy dan Pemuda Umno seluruhnya bersama menyatakan bantahan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri atas hipokrasi yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam isu dagangan dengan Israel,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khairy yang menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris hari ini, dengan menyatakan ‘undi Anwar bermakna undi Israel’.

Sebaliknya, kata Shamsul, Ketua umum KEADILAN itu tegas mendukung aspirasi rakyat Palestin dan kenyataannya selari dengan pendirian Hamas dalam menyelesaikan krisis antara Palestin dan Israel.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak Khairy menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkaitan isu kapal Israel yang memasuki pelabuhan negara ini.

“AMK juga berminat untuk tahu pendirian Khairy mengenai penjelasan Datuk Mukhriz Mahathir bahawa kerajaan tidak melarang perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan ahli-ahli perniagaan Israel,” katanya.

Tambah Shamsul, rakyat masih ingat bagaimana pentadbiran Najib sebelum ini melantik APCO Worldwide, sebuah perunding perhubungan awam pro Zionis-Israel untuk menasihat Presiden Umno itu dalam urusan kerajaan.

Pendedahan yang dilakukan di dewan rakyat pada 2010 itu, katanya, menyaksikan Ketua Pembangkang digantung daripada Parlimen selama 6 bulan.

Oleh itu, katanya, beliau menunggu respon Khairy berhubung cabarannya itu dan berharap Ahli Parlimen Rembau itu tidak berdolak-dalik sebagaimana sikapnya dalam cabaran debat berhubung isu National Feedlot Corporation (NFC). -KD

Tiada ulasan: