Pengikut

Jumaat, 26 Ogos 2011

Harussani bukti tuduhan terhadap Anwar fitnah

KUALA LUMPUR: KEADILAN mengalu-alukan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengakui pernah menasihati bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memecat Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat tanpa membawa empat saksi.

“Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam.

“Adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir Muhammad dan para kuncunya,”  kata Ketua penerangan KEADILAN, Dr Muhamamad Nur Manuty dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan yang disiarkan media, Harussani berpendapat bahawa punca perpecahan melayu-Islam pada masa ini adalah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Beliau menyebut perkara itu pada forum anjuran Sinar Harian bertajuk ‘Ulama Politik, Untuk Dakwah Atau Parti” di auditorium Karangkraf kelmarin.

Menurut Nur Manuty, kenyataan itu juga menjelaskan  bahawa perpecahan orang Melayu pada masa kini bukan di sebabkan Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gemburkan.

“Dengan kenyataan di atas, jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu- Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin UMNO sendiri bermula dari Dr. Mahathir Mohammad (Mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia)” katanya.

Harussani dalam forum di Shah Alam kelmarin mendedahkan, beliau pernah mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tentang tiga kelemahan dalam kerajaan pimpinannya itu.

Beliau juga pernah menasihatkan Dr Mahathir supaya tidak memecat Anwar sebagai timbalannya ketika itu kerana  akan menimbulkan perpecahan orang Melayu.

Dalam kenyatannya hari ini, Dr Muhammad Nur berkata,  KEADILAN  menyeru pemimpin Umno menghentikan kezaliman terhadap  Anwar demi perpaduan ummah dan seluruh masyarakat.
“Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap DSAI (Anwar) tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Tiada ulasan: