Pengikut

Rabu, 6 Julai 2011

Bebas semua tahanan Bersih - AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein membebaskan tahanan politik yang ditangkap sepanjang kempen Bersih 2.0.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut menuntut tanggungjawab kedua pihak berkenaan kerana menghina dan mengaibkan pimpinan Bersih dan Pakatan Rakyat, menjelang himpunan aman Sabtu ini.

“Setiap malam kami diserang di TV3 dan media melalui polis dan Menteri dengan tuduhan kononnya mahu menggulingkan kerajaan. Sekarang mereka perlu menghormati titah Tuanku.

“Sedangkan DYMM Tuanku Sultan Mizan sendiri memberi perkenan Baginda untuk mengadap dan berunding mengenai rancangan himpunan dan tuntutan Bersih.

“Justeru, kesemua tahanan ini perlu dibebaskan segera,” katanya kepada Keadilandaily.


‘Lebih sudu dari kuah’

Sementara itu Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mendakwa polis hanya mengikut telunjuk tuan politik mereka.

“Kadang kala kelihatan tindakan mereka ‘lebih sudu dari kuah’. Persoalannya, kepada siapa sebenarnya mereka berkhidmat? Apakah tumpah setia mereka kepada negara atau parti yang memerintah?,” soal  Khairul.

Beliau mengingatkan polis supaya menyedari  tanggungjawab mereka dan tidak mencemar integriti agensi itu yang seharusnya bebas.

Sehingga minggu lalu, lebih 100 tangkapan dibuat dengan hambatan kepada program Pakatan Rakyat di seluruh negara termasuk gangguan di ceramah, pencerobohan premis dan penahanan di bawah Ordinan Darurat.

“Sikap keterlaluan polis sendiri yang menerbitkan persepsi dan sentimen negatif di kalangan rakyat terhadap mereka.

“Kita tak katakan tindakan polis adalah betul jika berpihak kepada Pakatan Rakyat dan salah jika tak berpihak pada Pakatan Rakyat. Apa yang dituntut ialah kesaksamaan dan sikap neutral dalam tindakan,” tegas Khairul.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon menuntut kerajaan menarik balik dan meminta maaf atas tuduhan  Bersih sebagai pertubuhan haram.

“Lebih melucukan, kerajaan cuba mengaitkan Bersih dengan aktiviti keganasan,”  katanya merujuk laporan media mengenai penemuan senjata dan baju T Bersih dalam satu serbuan.

Jelas Khai Loon kesemua pimpinan AMK sependapat untuk menolak larangan pemakaian baju T Bersih dan menghormati titah Yang Di Pertuan Agong.

Tiada ulasan: