Pengikut

Ahad, 17 Julai 2011

AMK: Larangan pakai baju Bersih elak jawab isu permit Stadium, keganasan polis

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendakwa larangan pemakaian baju Bersih adalah percubaan Menteri Dalam Negeri mengelak dari kegagalan menjawab dua isu utama, iaitu pemberian permit di Stadium Merdeka dan keganasan polis semasa mengawal perhimpunan.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dalam satu kenyataannya mendakwa, larangan oleh Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob didorong laporan oleh pihak berkepentingan terhadap kejayaan gerak kerja Biro Penerangan AMK Malaysia.

“Walau apapun yang cuba dipolitikkan oleh polis dan Najib Razak, nyata larangan ini seakan untuk lari daripada kegagalan menjawab isu utama.

“Dolak dalik pemberian permit di Stadium Merdeka dan keganasan polis semasa mengawal perhimpunan menyebabkan kematian, mendatangkan beratus kecederaan selain kemudaratan pada bangunan akses awam,” kata Rozan merujuk tembakan gas pemedih mata dan air kimia ke Hospital Tung Shin.

Pada hari Rabu, 13 Julai 2011 Keadilandaily melaporkan aktiviti jualan tali leher kuning Bersih 2.0 mendapat sambutan mengalakkan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

Berikutan itu Ketua Polis Shah Alam, ACP Ahmad Zahedi Ayob mengeluarkan arahan larangan penjualan aksesori tersebut termasuk baju T mempunyai logo dan tulisan Bersih.

“Tindakan menahan, melarang dan cubaan menakutkan rakyat daripada memakai barangan yang menyatakan sokongan kepada Bersih 2.0 mahu pun pakaian berwarna kuning seperti baju kemeja-T, tali leher atau pengedaran risalah tidak harus menjadi isu.

“Penahanan untuk disoal siasat tidak sepatutnya menjadi isu kerana perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai telah selesai. Pihak polis perlulah bersikap profesional dengan tidak mengekang atau menghalang kebebasan rakyat.

“Penjualan barangan seperti baju T dan tali leher yang mempunyai logo Bersih 2.0 tidak mendatangkan sebarang mudarat mahupun isu konflik kepatuhan perundangan,” kata Rozan.

Justeru, AMK sanggup tampil untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri sekiranya memerlukan penjelasan bagi memastikan rakyat tidak ditekan dengan isu hak dan akses maklumat asas.
Sementara itu, beliau memaklumkan suatu program bagi memperingati kematian peserta himpunan aman Bersih 2.0, Allahyarham Baharudin Ahmad akan diadakan di Avenue K, Jalan Ampang (hadapan KLCC) pada 16 Julai, jam 5 petang
Acara serupa turut diadakan di Restoran Lotus Petaling Jaya pada jam 8 pagi dan Dataran Tasik Shah Alam pada jam 5 petang.

Tiada ulasan: