KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin akan disoal siasat oleh polis berhubung apa yang dikatakan insiden kekecohan di Masjid Al Amru As, Bandar Sentul pada petang ini.
Pihak polis dijangka mengambil keterangan beliau pada pukul 4.30 petang di Ibu Pejabat KEADILAN, di Tropicana Petaling Jaya.
Insiden kekecohan yang dikatakan itu timbul apabila salah seorang Trio Datuk T, Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan upacara sumpah laknat di masjid berkenaan pada 29 April lalu.
Eskay Abdullah merupakan salah seorang dalang yang menyebarkan video seks fitnah mengaitkannya dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri AnwAr Ibrahim.
Acara angkat sumpah laknat tersebut bagaimana pun menerima kecaman banyak pihak kerana perlakuan itu dikatakan tidak pernah dianjurkan oleh syariat Islam dan dianggap mencemar kesucian masjid.
Sebelum ini, Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin dan Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip turut dipanggil memberi keterangan oleh pihak polis.
Shamsul ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan sekumpulan anggota polis dari Bukit Aman akan merekodkan kenyataan tentang peristiwa angkat sumpah tersebut petang ini.
Bagaimanapun, Shamsul melahirkan rasa terkejut mengapa pihak polis ingin menyiasat perkara itu sedangkan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah.
“Kita akan beri kerjasama dan tengok apa yang disoal oleh pihak polis. Saya merasa sepatutnya tidak perlu siasatan pun kerana kita tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah.
“Sebenarnya tidak ada apa-apa kekecohan pun kerana acara angkat sumpah itu dilakukan di dalam masjid.
“Saya hairan mengapa pihak polis mahu menyiasat perkara ini. Ia tidak lain tidak bukan merupakan satu bentuk intimidasi dan ugutan kepada saya dan rakan-rakan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan