KUALA LUMPUR: Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aisyah Shaik Ismail  menyifatkan cadangan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mewujudkan parlimen belia, sebagai retorik.
Beliau mengulas idea tersebut yang diungkapkan perdana menteri pada  Himpunan Belia di Putrajaya 28 Mei lalu, yang dikatakan memberi peluang  kepada belia melontarkan pandangan.
“Namun timbul persoalan, apakah kewajarannya sekiranya dalam masa  yang sama sekatan terhadap anak muda, mahasiswa dan rakyat masih  dibelenggu? Apakah dengan mewujudkan parlimen tersebut kerajaan  menyatakan yang mereka kini bebas untuk dikritik?,” soalnya dalam satu  kenyataan.
Menurut Siti Aisyah, kerajaan seharusnya memulihkan sistem yang  menyekat saluran untuk anak muda khususnya mahasiswa bagi menggambarkan  kerajaan telus untuk mendengar dan menerima kritikan.
“Jika hanya sekadar membuka parlimen belia namun kualiti belia yang  ada di kalangan generasi ini masih ditahap yang kurang baik, pastinya  saluran itu tidak akan menjadi platform utama untuk menyalurkan suara  belia,” katanya lagi.
Tegasnya, kerajaan seharusnya menyelesaikan terlebih dahulu masalah belia dan golongan muda, bukan sekadar slogan retorik.
“Persoalan akhlak, akidah dan gejala sosial seharusnya menjadi fokus  utama kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang  menghasilkan generasi muda yang berkualiti dan bertamadun bukan di  kalangan generasi yang dihimpit dengan permasalahan.
Tambah beliau, kerajaan sepatutnya menekankan soal peluang pekerjaan  dan ekonomi yang dilihat penting bagi  golongan belia.  Justeru katanya,  pembukaan parlimen belia bukan jawapan yang tepat.
“Selesaikan dulu permasalahan orang muda kemudian baru bicara soal  idea dan pandangan. Jutaan idea dan pendapat diberikan namun sekiranya  dari soal perlaksanaan itu gagal dan tempang ia tidak mencerminkan  apa-apa,” tegasnya.
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan