Pengikut

Khamis, 17 Mei 2012

Isu Hudud mainan politik BN

Rafizi Ramli
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa pendirian pihaknya mengenai pelaksanaan hukum hudud tidak pernah berubah, sebaliknya Barisan Nasional (BN) khususnya MIC cuba menjadikannya isu sekarang bagi meraih undi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PR sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya akan membuat keputusan mengenai hudud jika menerima persetujuan semua pihak.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, MIC cuba menimbulkan 'kekecohan' dan salah faham di kalangan pengundi memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal diadakan tidak lama lagi.

Keanggotaan PR terdiri daripada PKR, DAP dan Pas.

Rafizi membalas kenyataan Setiausaha Agung MIC, S. Murugessan menyatakan PR harus menyatakan pendirian mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud dengan jelas bagi pengundi membuat penilaian dan pendirian.

“Pihak BN mahupun MIC sendiri tidak pernah memandang serius isu hudud ini, mengapa baru sekarang mereka timbulkan isu ini?” soal Rafizi.

“Ini jelas menunjukkan teori yang MIC gunakan mengenai isu hudud ini adalah cubaan untuk meraih undi kaum masyarakat India,” kata beliau.

Rafizi juga berkata, keputusan untuk melaksanakan hudud merupakan satu keputusan penting yang perlu difikirkan bersama.

“Pihak kami tidak akan gentar mengenai isu ini kerana sejak 2008, sokongan rakyat terhadap PR dan PKR terus meningkat,” jelas beliau lagi.

Malah katanya, rakyat kini semakin memahami dan bijak berfikir untuk membuat keputusan dan pihaknya tidak akan berasa tergugat dengan isu yang ditimbulkan MIC.

“Buktinya, kaum India merupakan kaum yang kedua terbesar keahlian dalam PKR. (Kira-kira) 25 peratus merupakan keahlian di kalangan kaum India manakala Melayu 60 peratus dan selebihnya kaum Cina,” katanya lagi. -SinarHarian

Tiada ulasan: