Pengikut

Rabu, 4 April 2012

Pakatan terus desak kerajaan jelas penjualan ladang Tabung Haji

KUALA LUMPUR 4 April: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution mahu kerajaan memberi penjelasan mengenai penjualan ladang seluas 83, 879 hektar yang dimiliki Lembaga Tabung Haji (LTH).

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan penjualan itu memandangkan aset yang dimiliki LTH sejak 1997 memberi pulangan yang lumayan iaitu RM3 juta sehari.

“Semalam Busimess Times memetik daripada CEO LTH bahawa ladang yang dimiliki itu secara prinsipnya dipersetujui untuk dijual kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Indonesia.

“Cuma yang menimbulkan persoalan untuk dibangkitkan ialah duit hasil penjualan itu kata CEO LTH akan digunakan untuk melabur dalam aset perladangan yang lain.

“Sebab katanya aset perladangan itu akan memberikan keuntungan yang lumayan dan mempunyai prospek keuntungan jangka panjang. Ini menimbulkan persoalan kalau betul ia akan memberikan keuntungan lumayan kenapakah ladang yang memberikan keuntungan RM3 juta sehari itu mahu dijual?” soalnya.

Beliau membangkitkan persoalan tersebut dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012, bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Bulan lalu, Pakatan Rakyat membidas tindakan LTH menjual ladang kelapa sawitnya di Riau, Indonesia.

Pakatan Rakyat mendakwa langkah tersebut dalam keadaan tergesa-gesa dan menimbulkan kecurigaan.

Antara yang kuat menentang adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang mengatakan penjualan ladang tersebut menjejaskan caruman pencarum Tabung Haji yang majoriti terdiri daripada orang Islam.

Husam tidak menolak langkah itu diambil setelah usaha menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia tergendala.

-KeadilanDaily

(Baca di sini: Ladang Sawit dijual kepada Roberk Kuok)

Tiada ulasan: