Pengikut

Khamis, 26 Januari 2012

Berbagai helah diberi Umno untuk elak debat Anwar-Najib

KUALA LUMPUR 26 Jan: Umno mengguna pelbagai helah untuk mengelak debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu membabitkan rakyat, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa debat merupakan ‘budaya barat’ yang masih belum diterima di negara ini.

“Ini satu lagu helah politik umno untuk elak debat dan kenyataan ini sungguh dangkal dalam keadaan kita menuju budaya politik baru,” kata Shamsul ketika dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Shamsul turut menempelak kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang memberi alasan kononnya debat Anwar-Najib tidak relevan kerana bukan melibatkan kepentingan umum.

Menurutnya, debat antara kedua pemimpin itu sepatutnya dilihat dalam konteks lebih luas dan bukan atas pertimbangan politik semata-mata.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar debat Anwar-Najib disegerakan bagi membolehkan rakyat menentukan siapakah lebih layak mentadbir negara ini pada pilihan raya umum kelak.

Beliau juga mencadangkan sekiranya debat itu diadakan, ia perlu disiar secara langsung bagi memberi peluang rakyat menilai secara adil dan bebas.

“Saya juga ingin menjawab dakwaan pemimpin Umno kononnya debat boleh diadakan di Parlimen.

“Soalnya Parlimen terhad dengan Najib mendapat kelebihan melalui Speaker BN yang menyokongnya selain tidak semua rakyat dapat melihat debat itu,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian menggesa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mengadakan debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan. -KD

1 ulasan:

ETM berkata...

rasanya PM tidak akan berani debat dengan ketua pembangkang.