Pengikut

Selasa, 15 November 2011

Kecurian kereta saya seolah dirancang - Aishah

KUALA LUMPUR 15 Nov: Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail percaya, kehilangan keretanya semalam seolah-olah dirancang oleh pihak-pihak tertentu.

Ini kerana ketika kecurian itu berlaku, terdapat saksi yang melihat kereta itu dibuka menggunakan kunci, dipercayai menggunakan kunci pendua dan bukan peralatan mengumpil kereta.

Semalam, kereta Proton Waja berwarna perak dan bernombor pendaftaran WJS 7349 itu disedari hilang pada jam 7 pagi di hadapan rumah abangnya di Jalan Kecawi 8/11, Kota Damansara.

Berikutan itu, Aishah membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Petaling Jaya dan Balai Polis Kota Damansara.

“Waktu berlaku kejadian itu ada saksi, iaitu jiran depan rumah abang saya, yang nampak sebuah kereta berhenti, dua lelaki turun dari kereta mereka dan membuka kereta saya menggunakan kunci dan bukan menggunakan peralatan tertentu,” kata Siti Aishah kepada Keadilan Daily.

Beliau juga menimbulkan kemusykilan kerana terdapat beberapa buah kereta milik abangnya, abang iparnya dan jiran terdekat tidak menjadi sasaran pencuri berkenaan.

“Buat masa ni saya tak nak tuduh mana-mana pihak, tetapi dalam keadaan kereta saya diapit oleh dua kereta yang lain, dan turun dua lelaki yang terus menghampiri dan membuka kereta saya, seolah-olah ia sudah dirancang,” katanya.

Turut hilang adalah dokumen berkaitan parti dan Srikandi KEADILAN, termasuk minit mesyuarat dan barang peribadi kepunyaan Aishah.

Semalam, Aishah dilapor berkata kehilangan itu menimbulkan tanda tanya, mengapa pencuri itu begitu berani sedangkan kejadian berlaku berhampiran balai polis.

Tiada ulasan: