KUALA LUMPUR: Polis Di Raja Malaysia menahan 7 anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di KL Sentral ketika ingin menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di KL Sentral.
Mereka ditahan kira-kira jam 2.50 petang ketika sedang berbaris bersama pelatih PLKN menyambut ketibaan Najib yang merasmikan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di situ.
Antara yang ditahan termasuk Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azin Mat Rasip, Exco AMK Pusat, Zaki Yamani, Zulfikar Ali Ariffin, Manivannan Gowindasamy dan pembantu ahli parlimen Ampang, Mohamad Fareez Kamal Intidzan.
Mereka yang rata-ratanya memakai baju kuning, ditahan ketika Zaki cuba menghampiri Najib dan menyerahkan memorandum berkenaan kepada perdana menteri itu.
Sebaik sahaja beliau memanggil “Datuk Seri”, empat pengawal peribadi Najib terus memegangnya dan mengheret beliau untuk diserahkan kepada pihak polis.
Exco AMK, Zulfikar Ali Ariffin pula diberkas apabila cuba bertanya mengapa Zaki ditahan dengan cara kasar. Kesemua mereka kemudian di bawa ke Balai Polis Jalan Travers.
Bercakap kepada Keadilandaily, Zulfikar berkata mereka mendesak kerajaan pimpinan Najib segera membebaskan 6 tahanan Ordinan Darurat, menuntut reformasi sistem pilihan raya dan menggesa kerajaan menghormati hak asasi manusia yang semakin teruk sejak 1998.
“Kami juga mendesak agar melaksanakan kesemua tuntutan ini sebelum pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Rozan ketika dihubungi berkata, pihak polis tidak membenarkan peguam menemui mereka.
Bagaimanapun katanya, pihak polis memberi jaminan mereka akan dibebaskan hari ini, selepas keterangan diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan