Pengikut

Rabu, 29 Disember 2010

APCO: Kembali Kepada Asas Perbincangan

Penglibatan serius APCO dalam pentadbiran Perdana Menteri adalah bukti paling jelas tentang kemunafikan Umno-Barisan Nasional. 

Selama lebih satu dekad, mereka memekakkan negara ini dengan propaganda bertali-arus bagi menggambarkan saya sebagai agen Yahudi, sambil secara diam-diam mengupah firma yang termaklum kerana hubungan kuatnya dengan perisik dan institusi politik Israel untuk menguruskan salah satu fungsi paling berpengaruh di pentadbirannya  iaitu mesej dan komunikasi.

 

Maka itu, sebahagian besar bantahan saya ketika pertama kali membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat ditujukan pada sikap hipokrik dan kecuaian Perdana Menteri yang mengupah firma dengan rekod lampau seperti APCO.

Amat wajar apabila ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta kerajaan berterus-terang tentang sejauh mana keterlibatan APCO dalam penggubalan dasar-dasar dan komunikasi di bawah Perdana Menteri ketika ini.

Ada banyak catatan tersediia untuk tatapan umum sedia untuk mengesahkan rekod lampau APCO yang tidak sihat yang berkhidmat dengan regim-regim  yang berkecenderungan untuk menekan hak-hak asasi manusia dan ruang demokrasi.

Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) telah menulis dua artikel dengan panjang lebar mengenainya (“APCO: In Mercenaries We Trust” dan “APCO & Najib: Beneath the PR Veil”).

Kedua-dua artikel ini; disiarkan oleh Malaysiakini memberi wawasan tentang kerja-kerja APCO dan hubungan eratnya dengan regim-regim atau penyebab-penyebab yang dianggap merugikan kemajuan demokrasi dan kepentingan awam.

Maka itu, isu ini sama sekali bukannya mengenai soalan mudah tentang siapa yang mencetuskan 1Malaysia. Ia mengenai soal memastikan kerajaan hari ini bertanggungjawab di atas perlakuan tidak terurusnya dalam membelanjakan wang awam (anggaran RM77 juta bagi satu tahun perkhidmatan) yang mengupah firma bagi membina imejnya sendiri.

Lebih penting lagi, ia membabitkan sikap tidak bertanggungjawab Perdana Menteri yang menolak rekod lalu APCO dan potensi risiko keselamatan yang ditimbulkan olehnya.

Malangnya, Umno-Barisan Nasional tidak pernah bersedia untuk berdepan dalam kedua-dua isu kritikal ini. Ia bertindak keras sejak awal lagi sehingga akhirnya membawa kepada penggantungan empat ahli Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia menginjak-injak setiap etika dan norma yang termaklum termasuklah proses alami yang membenarkan seorang tertuduh untuk mengemuka dan mempertikaikan kesnya di hadapan sebuah panel yang adil dan saksama.

Hakikat bahawa saya tidak dibenarkan untuk mengemukakan bukti kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen memperlihatkan tujuan Perdana Menteri bagi mengelak isu-isu asas tentang akauntibiliti dan kelalaian pihaknya dalam mengupah APCO. Akhirnya, Umno-Barisan Nasional mencipta satu lagi sejarah pertama Dewan Rakyat apabila ia merancang penggantungan kami tanpa bahas dan berdasarkan surat ringkas penafian dari APCO.

Kuasa Surat APCO
Saya juga harus menjawab dakwaan terbaru Umno-Barisan Nasional yang hanya dengan sepucuk surat penafian dari APCO dan satu kenyataan dari Robert M Shrum sudah menjadi bukti yang tidak dipertikai bahawa APCO tidak terlibat dalam konseptualisasi 1Malaysia; dan 1Malaysia tidak pernah diadaptasi dari kempen One Israel.

Dalam proses biasa mahkamah undang-undang, “bukti” sedemikian perlu diuji melalui pemeriksaan silang bagi memastikan ia  boleh diyakini dan dapat diterima untuk tujuan sesuatu kes. Tidak ada mahkamah atau jawatankuasa parlimen yang bereputasi teguh yang akan menolak sebarang kes dan membuat penghakiman berat sebelah semata-mata dengan berlandaskan dua pucuk surat yang dikemukakan oleh pendakwa.

Dengan menggunakan logik Umno-Barisan Nasional yang sama tadi, kenyataan bersumpah yang dibuat oleh P. Balasubramaniam di atas tuduhannya terhadap hubungan Perdana Menteri dengan Altantuya Sharibu seharusnya diterima sebagai bukti yang tidak dapat dipertikaikan.

Begitu juga, dua perjanjian yang ditandatangani oleh APCO masing-masing dengan kerajaan Malaysia dan Israel yang saya miliki perlu diterima sebagai bukti yang tidak dapat dipertikaikan tentang hubungan di antara kempen 1Malaysia dengan kempen lain yang APCO atau pegawainya pernah lakukan sebelumnya.

Mujurlah, proses undang-undang dan keadilan alami yang ditadbir dengan cara paling adil akan menetapkan bahawa setiap bukti yang dibawa tertakluk kepada ujian tertinggi.

Atas alasan inilah saya bersuara lantang dalam kritikan saya kerana Umno-Barisan Nasional bertegas untuk mengelak sebarang ujian tentang hubungannya dengan APCO hingga ke tahap dengan tidak membenarkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dari meneruskan langkah sewajarnya dalam menjalankan peranannya.

Maka itu, pendedahan Umno-Barisan Nasional tentang dua dokumen tersebut tidak lebih daripada mainan terancang media bagi memastikan tidak ada ujian ke atas “bukti” yang didakwa dimilikinya. Siapa saja yang sudah biasa dengan sejarah Umno-Barisan Nasional dalam merancang kempen pembunuhan karakter yang sering melibatkan reka-cipta “bukti-bukti palsu” sememangnya akan merasa sketik dengan penghakiman terakhir media ini.

Pada akhirnya, negara ini harus kembali ke persoalan asas yang begitu ingin dihindari oleh Perdana Menteri Dato 'Seri Najib Tun Razak.

Persoalan paling asas muncul dari satu laporan oleh portal berita The Insider Malaysia bertarikh 28 Julai 2009 bertajuk “Money Being Splurged To Boost Image of Najib’s Administration”. Saya siarkan semula isi-isi pentingnya yang tidak pernah dinafikan secara rasmi oleh Perdana Menteri:

“Sudah diketahui bahawa perkhidmatan APCO Worldwide telah dibawa oleh Omar Mustapha, pembantu dekat PM yang baru-baru ini terlibat dalam kontroversi di atas cadangan pelantikannya ke lembaga syarikat minyak nasional Petronas.

APCO Worldwide diketahui sudah mempunyai pejabat rasmi berpusat di pejabat Najib semenjak hari-hari awal pentadbirannnya.

APCO dan lain-lain pakar perhubungan awam dari Amerika Syarikat juga telah membantu Najib melakar strategi 100 harinya. Ini termasuk slogan 1Malaysia dan lain-lain platfom utama pentadbirannya.”

Jika ini memang benar, Perdana Menteri mesti bersedia untuk menjelaskan lain-lain isu asas – sikap sesuka-hatinya dalam menggunakan wang pembayar cukai bagi mengupah sebuah firma semata-mata untuk kebaikan partinya, terutamanya pihak yang mempunyai rekod lampau yang begitu meragukan yang boleh menggugat keselamatan negara.


* Penulis ialah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

 

Tiada ulasan: