Pengikut

Rabu, 21 September 2011

Demonstrasi besar-besaran jika GST dilaksanakan - AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) tidak teragak-agak untuk mengajak rakyat turun ke jalan raya sekiranya kerajaan Umno-Barisan Nasional masih berdegil melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, AMK memberi amaran akan menggerakkan rakyat khususnya golongan muda di seluruh negara bagi membantah keputusan itu.

“AMK akan mengambil inisiatif untuk menggerakkan secara meluas bersama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) kerana ini (perlaksanaan GST) merupakan beban dan akan menyebabkan rakyat yang parah.”

“Ini bukan agenda politik kerana isu ini merupakan isu rakyat,” katanya kepada Keadilandaily.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan sedang meninjau kemungkinan melaksanakan GST selepas pilihan raya umum akan datang.

Ia berbeza dengan kenyataan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang memberi jaminan GST tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata GST adalah isu besar yang membebankan rakyat terutama golongan muda dan berpendapatan rendah.

“Bagaimana dengan anak muda yang baru menamatkan pengajian ijazah? Begitu juga pekerja dari sektor perindustrian (pekerja kilang) yang lebih merasa beban dengan cukai GST ini,” soal beliau.

Tambahnya rakyat masih belum bersedia dengan perlaksanaan GST ekoran keadaan ekonomi yang majoriti rakyatnya berpendapatan rendah.

Antara bukti yang jelas apabila kenyataan Perdana Menteri mengatakan hanya 1.2 juta dari 12 juta rakyat membayar cukai.

“Justeru, isu GST memerlukan penjelasan yang mendalam bagi tujuan memberitahu rakyat tentang kesan-kesan terhadap ekonomi agar rakyat tidak akan terhimpit,”

“Pakatan Rakyat juga memandang serius isu ini dan akan terus memperkasa ekonomi negara sehingga rakyat tidak merasa beban,” katanya.

Pakatan Rakyat mengemukakan Buku Jingga yang menggariskan keutamaan dalam perbelanjaan negara dan menutup ketirisan dalam sistem kewangan negara.

Ia berbeza dengan Kerajaan BN yang mengambil jalan mudah untuk mengurangkan defisit negara dengan perlaksanaan GST yang membebankan rakyat.

Tiada ulasan: