Pengikut

Rabu, 14 September 2011

Dari sumber mana Jamil Khir boleh miliki rumah mewah - AMK

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir menjelaskan rumah mewahnya yang dianggar menelan jutaan ringgit.

Keraguan timbul apabila menteri yang baru dilantik 3 tahun oleh Perdana Menteri dan hanya memiliki gaji tidak menjangkau RM15,000 itu, mampu memiliki kediaman mewah dalam masa yang singkat.

“Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri),” katanya mengulas isu yang didedah oleh akhbar Suara Keadilan semalam.

Khairul berkata ia bukan perkara memeranjatkan kerana menjadi kebiasaan menteri yang ditadbir Kerajaan Barisan Nasional (BN) hidup mewah.

Beliau merujuk kes bekas Menteri Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mencetus kontroversi kerana kos kediamannya dikatakan melebihi kemampuan sebagai menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

“Rakyat pun tidak terperanjat dengan isu yang sudah dianggap biasa ini. Oleh itu, jika beliau (Jamil) ada sedikit rasa tanggungjawab dengan imej dan kedudukannya, beliau perlu tampil memberi penjelasan.

“Walaupun (dia) Jamil Khir merupakan Menteri Agama namun ia bukanlah jaminan beliau berperangai seperti Menteri-menteri lain” katanya kepada Keadilandaily.


Sebelum ini KEADILAN pernah mempersoalkan kehilangan RM32,000 wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) didakwa membiayai yuran guaman Jamil Khir dan Pengarah Jabatan Islam (JAWI), Datuk Che Mat Ali.

Ia terbongkar melalui kenyataan media Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, beberapa bulan lalu.

Wang zakat tersebut didakwa digunakan bagi menghalang permohonan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan, sedangkan Jamil dan Che Mat tidak tergolong dalam kategori yang layak menerima zakat.

Tiada ulasan: