Pengikut

Isnin, 26 Mac 2012

MP BN di cabar sokong henti dagang dengan Israel

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin, mencabar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong usul tidak mengiktiraf Israel dan menggubal undang-undang melarang sebarang bentuk dagangan dengan negara Zionis itu.

Badrul yang juga merupakan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, sekiranya BN enggan menyokong usul yang akan dibawa Ahli Parlimen Pakatan itu, ia menunjukkan BN hanya menggunakan isu tersebut sebagai alat politik semata-mata.

“Kita noktahkan isu ini. Oleh itu kita cabar semua ahli Parlimen BN bersetuju dengan usul yang akan dibawa. Kita gubal undang-undang untuk hentikan semua bentuk dagangan dengan Israel.

“Haramkan penggunaan pelabuhan atau sebarang kemudahan negara untuk kepentingan Israel. Iktiraf kerajaan Hamas atau mana-mana parti politik yang dipilih rakyat Palestin,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Badrul yang lebih dikenali sebagai CheguBard hadir ke Parlimen pagi tadi untuk mendesak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membawa usul untuk menggubal undang-undang berkenaan larangan dagangan antara Malaysia dengan Israel.

Selain itu, beliau turut mendesak Parlimen melulus undang-undang larangan penggunaan pelabuhan untuk kepentingan Israel selain mengiktiraf kerajaan Hamas dan mana-mana parti politik yang dipilih rakyat Palestin.

Hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Sementara itu, Teck Hwa berkata beliau akan membangkitkan usul tersebut dibawah peraturan 18 (1) kerana isu itu melibatkan kepentingan umum dan perlu disegerakan.

“Ia perlu dibahas dan ditamatkan segera dengan penjelasan segera menteri yang terbabit,” katanya. -KD

Tiada ulasan: