Pengikut

Jumaat, 8 Julai 2011

Pemuda Umno patut berhimpun di SPR Putrajaya

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menasihati Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludddin dan kumpulan Patriot untuk berhimpun di pejabat Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Bersih lebih awal memaklumkan untuk berhimpun di Stadium Merdeka bagi menyatakan lapan tuntutan terhadap
pilihan raya bebas dan adil.

Justeru, katanya, rancangan Pemuda Umno dan Patriot berhimpun di Kuala Lumpur dianggap sengaja dilakukan untuk mensabotaj himpunan Bersih.

“Bukankah sebelum ini mereka pernah mengadakan ‘Himpunan Sejuta Belia’ di Putrajaya? Berhimpunlah di sana,” kata Shamsul kepada Keadilandaily.

Bagaimanapun, kata Shamsul, beliau yakin Pemuda Umno tidak mampu mengerahkan ribuan ahlinya untuk turun dalam demo itu.

Malah Perkasa yang dipimpin Presidennya, Ibrahim Ali turut membatalkan niatnya di saat akhir.
“Kalau mereka teruskan, itu hanya akan memalukan mereka,” kata Shamsul.

Menurutnya, program Bersih adalah jelas iaitu untuk berhimpun, menyerahkan memorandum kepada Yang di Pertuan Agong dan kemudian bersurai dengan
aman.

Tegasnya, ia bukan bertujuan membuat kekacauan dan setiap peserta diarah untuk mematuhi undang-undang.
“Kita berpengalaman dalam banyak himpunan aman. Kita akan memastikan tiada anasir negatif. Sekiranya ada tindakan di luar arahan, ia dilakukan oleh provokator yang sengaja memberikan nama buruk kepada himpunan Bersih,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK,  Khairul Anuar Ahmad Zainuddin pula menegaskan, Pemuda Umno dan Patriot sepatutnya tidak memilih Stadium Merdeka
sebagai tempat perhimpunan.

“Pemuda Umno dan Patriot bukanlah kumpulan yang menyokong tuntutan Bersih. Mereka menyokong Suruhanjaya Pilihan Raya. Jadi, mengapa perlu turut sama ingin
berhimpun di Stadium Merdeka?,” Soal beliau.

Katanya, AMK tidak menghalang Pemuda Umno untuk turut sama berhimpun secara aman seperti mana dijamin perlembagaan, tetapi bukan memilih lokasi yang sama dengan Bersih.

“Mereka sendiri telah maklum dengan cadangan himpunan Bersih yang akan dibuat. Jadi berhimpunlah di tempat lain,” katanya.

Tiada ulasan: