Pengikut

Ahad, 17 Julai 2011

AMK ajak SPR debat isu pilihan raya

PETALING JAYA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat akan memperinci ‘buku jawapan’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan proses pilihan raya, sebelum bercadang mengajak agensi itu untuk berdebat.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pakar dan aktivis Bersih 2.0 akan dipanggil bagi membuat perincian terhadap buku bertajuk ‘Penjelasan Terhadap Isu-isu Yang Dibangkitkan Mengenai Pilihan raya’ itu.

“AMK akan memanggil kumpulan pakar termasuk aktivis Bersih 2.0 untuk membincangkan secara terperici jawapan SPR ini.

“Kita akan bukukan dan buat rumusan perbincangan dan kita akan ajak debat secara terbuka dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkaitan dengan lapan tuntutan Bersih,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Katanya, AMK sama sekali tidak gentar untuk berdebat mahupun berdepan sendiri dengan pengerusi SPR walaupun pihaknya mengungkapkan secara fakta.

“Kalau SPR mengungkapkan secara fakta ataupun ikut kata mereka secara ilmiah dan diulas satu persatu. Kita juga akan jawab perkara ini secara terperinci satu persatu,” tegasnya.

Sementara itu, Shamsul berkata, AMK mencadangkan pimpinan pusat supaya wakil AMK diletakkan sebagai calon Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita sudah kenal pasti lebih kurang 48 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28 Parlimen dan 20 DUN. Kita sedang teliti untuk dicadangkan kepada pimpinan pusat supaya wakil daripada AMK, bertanding.

“Mereka yang berumur bawah 35 tahun bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: