Pengikut

Selasa, 1 Mei 2012

Gaji Minima: Rakyat Sabah dan Sarawak di anak tirikan

SHAH ALAM, 1 Mei: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) melahirkan rasa kesal dan terharu dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang secara terang terus menzalimi serta menafikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dalam perlaksanaan gaji minima seperti mana diumumkan oleh beliau semalam.

Exco Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Muhammad Najmi Samsudin  dalam satu kenyataannya turut memberitahu pengumuman gaji minima yang dilakukan oleh Najib itu masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan ataupun masih lagi status miskin jika dibandingkan dengan keadaan ekonomi sekarang.

"Najib secara jelas terus menzalimi rakyat Sabah dan Sarawak, saya tidak tahu apa punca sebenarnya pada pengumuman gaji minima mengapa perlu ada perbezaan ketara antara Semenanjung dengan negeri-negeri Malaysia Timur.


"Adakah alasan kerana faktor ekonomi yang berbeza, kalau ini yang digunapakai saya harap Najib perlu duduk disana untuk mengetahui keadaan sebenar berlaku bukannya hanya mendengar laporan orang dari Semenanjung sahaja," katanya.

Malah menurutnya keadaan gaji sebanyak RM900 bagi semenanjung dan RM800 kepada Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan itu bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan.

"Apa nak bangga dengan nilai gaji yang Najib umumkan, nilai ini tidak dapat memberi keselesaan kepada rakyat.

"Malah ia hanyalah mengulangi peristiwa yang sama apabila rakyat akan terus dibebani dengan kenaikan harga barang akibat dari pengumuman tersebit sedangkan mereka hanya mendapat sedikit kenaikan sahaja," tambahnya.

Najmi menyatakan dasar Pakatan Rakyat adalah menyediakan satu tahap kepuasan kepada gaji minima apabila menetapkan RM1,500 sebagai sumber pendapat rakyat yang bekerja.

"Keadaan sekarang apa yang dapat dibeli jika pendapatan hanya dalam lingkungan RM800 hingga RM900, sudah pasti beban terus dipikul oleh rakyat.

"Penetapan RM1,500 sebagai gaji minima setidak-tidaknya akan mengurangkan beban rakyat jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan," sambung beliau lagi.

Katanya lagi, AMK menyeru agar rakyat Sabah dan Sarawak bangkit membuat perubahan dan tidak perlu lagi berada dalam keadaan sekarang yang sentiasa di anaktirikan serta dizalimi kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Rakyat Sabah dan Sarawak jangan biarkan diri terus dipermainkan, Umno-Barisan Nasional menganggapkan negeri tersebut sebagai kubu kuat mereka serta berharap rakyat terus menyokong tetapi dalam masa yang sama menindas rakyat.

"Dalam pada itu gaji minima yang diberikan kepada rakyat di semenanjung juga tidak munasabah jika kita bandingkan dengan harga barang keperluan sekarang," jelasnya Najmi lagi.

Najmi berpendapat pengumuman tersebut hanya memalukan diri Najib sendiri kerana rakyat menunggu satu pengumuman yang betul-betul memuaskan sempena sambutan hari pekerja tetapi apa yang mereka dapat hanyalah sekadar melepas batuk ditangga.

Sebelum itu, Najib telah mengumumkan bahawa gaji minima bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan sebanyak RM900 manakala bagi Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Labuan ditetapkan sebanyak RM800 sahaja. -Keadilankini

Tiada ulasan: