Pengikut

Isnin, 26 Mac 2012

Kenapa tergesa-gesa bersihkan nama anak Nazri Aziz?

KUALA LUMPUR 26 Mac: Kenyataan Ketua Polis Daerah Brickfields, Wan Abdul Bari berkenaan kes serangan melibatkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz dilihat sebagai usaha polis untuk melindungi reputasi Umno BN.

Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran berkata, kenyataan Wan Abdul Bari yang membersihkan anak Nazri itu bertentangan dengan laporan awal yang menyatakan anak Nazri sendiri menyerang seorang pengawal keselamatan.

“Ia cukup merisaukan dan menimbulkan syak wasangka kerana kenyataan dibuat dengan keadaan yang terburu-buru.

“Dilaporkan insiden itu juga dirakam kamera CCTV di tempat kejadian. Apa yang dapat dilihat melalui rakaman tersebut?” soal beliau.

Surendran berkata, tindakan polis yang tergesa-gesa membersihkan jenayah anak menteri Umno hanya meningkatkan lagi keraguan dan prasangka akan perkara yang sebenarnya terjadi pada malam 20 mac lalu.

“Adakah polis cuba melindungi reputasi kerajaan Umno BN?” soal beliau lagi.

23 Mac lalu, seorang penyelia keselamatan kondominium mewah di Mont Kiara membuat laporan polis dan mendakwa dirinya diserang oleh Mohamad Nedim Mohd Nazri Aziz bersama pengawal peribadinya.

Ia bermula dengan pergaduhan kecil apabila Mohamad Nedim enggan memberi butiran dirinya sebelum memasuki kawasan kondominium itu, selepas diminta pengawal terbabit.

Keesokannya, akhbar The Star melaporkan polis mendapati pergaduhan hanya berlaku antara penyelia keselamatan dan pengawal peribadi Mohamad Nedim, tanpa melibatkan beliau sendiri.

Surendran turut berkata, sudah menjadi amalan biasa untuk polis melindungi pemimpin Umno BN dan keluarga mereka yang disabitkan dengan jenayah.

“Sebelum Perhimpunan Agong Umno 2011, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Bakar mengeluarkan kenyataan membersihkan NFC dari salahlaku, walhal siasatan belum pun selesai.

“Justeru, KEADILAN mendesak Ketua Polis Negara untuk menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes yang membabitkan anak menteri ini. Peguam Negara juga harus menggunakan kuasanya untuk mengarahkan polis membuat siasatan lanjut,” jelas beliau lagi. -KD

Tiada ulasan: