Pengikut

Selasa, 6 Mac 2012

Debat: Najib perlu beri jawapan jelas - Nurul Izzah

KUALA LUMPUR 6 Mac: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jawapan jelas berhubung cadangan debat antara beliau dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas pengumuman Najib dalam laman blognya semalam yang menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan sesiapa sahaja pemimpin ‘yang mempunyai pemikiran munasabah’, sebelum teks asal itu ditukar kepada perkataan ‘berbincang’.

Nurul Izzah berkata, Najib tidak seharusnya memberikan pelbagai alasan, semata-mata untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada cadangan debat berkenaan.

“Najib perlu akur dengan tuntutan rakyat di setiap peringkat yang ingin menyaksikan beliau berdebat secara langsung dengan Ketua Pembangkang.

“Malah, cadangan debat ini adalah suatu yang sangat rasional. Rakyat ingin tahu polisi dan dasar yang akan dibawa oleh kedua-dua pihak dalam menentukan arah tuju negara,” ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sementara itu, beliau turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyanggah pihak yang menolak debat, dalam kolumnya di Sinar Harian semalam.

Saifuddin, dalam akhbar itu memberikan 10 sebab, antara lain menyatakan kebolehan berhujah sepatutnya mencerminkan pemimpin yang rasional dan kritis.

Nurul Izzah berkata, perdana menteri menerima tekanan dari luar dan di kalangan pemimpin tertinggi Umno sendiri, bagi menunjukkan ketrampilan dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

“Namun, apa yang berlaku adalah rakyat terpinga-pinga dengan permohonan maaf beliau, tanpa menyenaraikan kesalahan-kesalahan yang dilakukan,” ujarnya pada keadilandaily.com.

Mengulas isu sama, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata, kenyataan Saifuddin itu sepatutnya dijadikan motivasi untuk Najib supaya lebih berani.

“Isu-isu yang dibangkitkan oleh Saifuddin, seperti kesediaan rakyat dan debat sebagai jalan terbaik mencari penyelesaian kepada masalah negara, mematahkan hujah-hujah pemimpin Umno yang lain sebelum ini,” ujarnya. -KD

Tiada ulasan: