Pengikut

Selasa, 28 Februari 2012

penyokong Umno ancam secara fizikal - Nurul Izzah

PETALING JAYA 28 Feb: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa penyokong Umno, Asrullah Affendi Abdullah yang melakukan provokasi semasa kedatangan beliau di Gambang, Pahang baru-baru ini, benar-benar melakukan ancaman fizikal.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Lepar ,Mohd Shohaimi Jusoh bahawa Asrullah, yang juga pembantunya tidak menyerang Izzah tetapi bertujuan “melindungi” Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

“Beliau (Asrullah) meluru ke arah saya, tanpa amaran, dalam sikap yang membimbangkan – manakala pengacara mereka terus menjerit menghina dan memarahi diri saya, Nik Nazmi dan parti kami.

“Saya tegaskan bahawa tindakan ini merupakan ancaman dalam bentuk fizikal terhadap saya,” kata Izzah dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Asrullah Affendi adalah sebahagian penyokong Umno yang melakukan provokasi sejak awal ketibaan mereka dalam program ceramah di Felda Lepar Hilir 1 itu.

“Malah samseng Umno itu turut menggunakan mikrofon dan sistem bunyi mereka untuk memprovokasi ceramah kami sepanjang program,” tegas Izzah.

Menurutnya lagi, sekiranya Umno mahu menenangkan keadaan, mereka sepatutnya mengarahkan penyokong mereka turun dari pentas ceramah dan membenarkan pihaknya meneruskan program malam itu.

“Walaupun kami terpaksa akur dengan menamatkan ceramah lebih awal ekoran provokasi melampau dan berterusan samseng, kami tetap dikepung, malah kereta kami turut dikelilingi samseng itu.

“Mereka juga memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pimpinan lain malam itu dan saya menolak cubaan Umno untuk membersihkan penglibatan mereka dalam insiden ini,” tegasnya.

Oleh itu, beliau mendesak Datuk Seri Najib Razak membuat pendirian tegas berhubung insiden terbabit bagi memastikan keselamatan dan hak rakyat dijamin serta dihormati. -kd

Tiada ulasan: