Pengikut

Jumaat, 11 November 2011

Video Fitnah: KEADILAN gesa hentikan siasatan terhadap Anwar

KUALA LUMPUR 11 Nov: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disiasat polis berhubung kes video fitnah yang dikaitkan dengan beliau, sekaligus merupakan satu lagi usaha terbaru untuk memenjarakannya.

Anwar dipanggil memberi keterangan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas tuduhan membuat laporan palsu yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman 6 bulan penjara.

Beliau dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Kepong, Rabu depan selepas dimaklumkan oleh pihak polis.

Sehubungan itu, KEADILAN menuntut Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memperalatkan pihak polis dan menghentikan serta-merta siasatan terhadap Anwar.

Naib Presidennya, N. Surendran berkata, siasatan tersebut merupakan satu lagi konspirasi terancang yang turut melibatkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail omar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

“Semua siasatan dan pendakwaan ini adalah konspirasi yang sengaja dirancang lebih awal dengan tujuan akhir untuk memenjarakan Anwar.

“Konspirasi ini turut memperalat institusi kerajaan termasuk Polis dan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang media di pejabat parti itu hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, Naib Presien, Tian Chua, Senator Dewan Negara, Dr Syed Husin Ali, Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli, Anggota Biro Politik Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Azmizam Zamanhuri.

Sementara itu, R. Sivarasa berkata, beberapa hari lalu, ASP Teh Boon Ang dari Balai Polis Kepong meminta Anwar hadir merakamkan kenyataan mengenai perkembangan kes itu.

Menurutnya, Anwar dituduh dengan sengaja memberi maklumat palsu kepada kakitangan kerajaan dengan niat mengakibatkan kecederaan dan kesusahan kepada orang lain.

“Selepas Datuk Seri Anwar memberi keterangan, barulah kita akan memberi kenyataan lanjut mengenai kes ini,” katanya yang juga merupakan peguam Anwar.

Bagi Rafizi, isu Video fitnah yang mula dihidupkan kembali oleh pentadbiran Najib ini bertujuan mengalih isu skandal Feedlot yang gagal dijawab Najib bersama menteri kabinetnya.

Pada Mac lalu, Anwar membuat laporan polis berhubung tindakan trio “Datuk T” yang menayangkan satu rakaman video seks kepada petugas media dan individu tertentu di satu hotel mewah.

Tiga individu itu ialah – bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tiga bulan kemudian atas kesalahan menayangkan video tersebut.

Tiada ulasan: