Pengikut

Selasa, 3 Mei 2011

Saf, AMK anjur demo Hari Kemarahan Rakyat di Masjid Negara

Saiz Teks: A A A


PETALING JAYA: Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf), Angkatan Muda KEADILAN dan badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan demonstrasi ‘Hari Kemarahan Rakyat’ di Masjid Negara Jumaat ini.

Demo tersebut yang diadakan berhadapan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) itu juga bertujuan untuk memprotes tindakan jabatan itu yang dikatakan terlibat dengan acara sumpah laknat Trio Datuk T Jumaat lepas.

“Program tersebut akan bermula dari jam 12 tengah hari dengan mengumpulkan kesemua NGO yang kita jemput dan penyokong. Tetapi demonstrasi akan bermula selesai solat Jumaat.

“Kita memilih untuk mengadakan demonstrasi di hadapan masjid negara kerana di depannya terletak JAWI,” kata Kassim Muhamad, Setiausaha Gerakan Anti Fitnahketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya tengahari tadi.

Turut serta dalam sidang media itu Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Naib Ketuanya, Rozan Azen Mat Rasip.

Dalam pada itu, beliau menganggarkan kehadiran 80 NGO yang akan memberi sokongan untuk menolak fitnah yang menular dalam politik tanah air.

“Penubuhan gerakan ini adalah kerana melihatkan suasana politik yang menggunakan isu agama sehingga menimbulkan dimensi isu yang meresahkan.

“Fitnah mesti ditentang habis-habisan dan jalankan hukum qazaf. Saya kesal kerana golongan kristian yang lebih ke depan beri reaksi berbanding orang Islam sendiri,” ujarnya.

Demonstrasi itu akan menampilkan Sasterawan Negara 1986, A.Samad Said dan penyair terkenal, Dinsman.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung aktiviti dan program daripada Gerakan Anti Fitnah, orang ramai boleh melayari laman web safantifitnah.blogspot.com.

Tiada ulasan: