Pengikut

Sabtu, 26 November 2011

KEADILAN sasar pendapatan minima RM4,000 - Wan Azizah

JOHOR BAHRU 26 Nov: KEADILAN adalah parti pertama yang mensasarkan pendapatan minima isi rumah RM4,000 sebulan dalam tempoh lima tahun berkuasa.

Perkara itu dinyatakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasarnya pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2011 di Pulai Spring Resort, Johor Bahru pagi tadi.

Ia adalah sebahagian daripada rencana ekonomi baru yang dirangka KEADILAN bagi menggantikan agenda ekonomi Umno yang lapuk, menipu rakyat dan melahirkan golongan kaya yang menindas golongan miskin.

Rencana ekonomi baru itu, kata Wan Azizah, adalah berdasarkan kerangka kesaksamaan dan peluang sama rata antara kaum.

“Rencana ekonomi sedia ada sudah lapuk kerana ia menipu rakyat dengan janji ekuiti 30 peratus sedangkan ia melahirkan golongan kaya yang menindas golongan miskin semua kaum.

“Pilihan kita adalah mengkayakan semua rakyat tanpa memilih bulu.

“Cara kita ialah merumus dasar ekonomi yang meningkatkan pendapatan seisi rumah rakyat dan mengurangkan bebanan kos sara hidup,” kata Wan Azizah.

Anjakan minda itu, kata Wan Azizah, adalah senjata kita yang paling ditakuti Umno.

Ini kerana Umno, yang disifatkan Azizah sebagai ‘elit kekuasaan’, tahu ekonomi perkauman boleh dipatahkan dengan mudah.

Untuk mencapai sasaran itu, KEADILAN perlu meneruskan amanah melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,100 setiap pekerja yang dijanjikan kepada rakyat, katanya lagi.

Turut digariskan di bawah rencana ekonomi baru itu adalah dua lagi strategi lain untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

“Strategi kedua ialah memadankan sektor ekonomi dan ekonomi melalui reformasi pendidikan agar setiap keluarga mempunyai lebih ramai ahli yang bekerja.

“KEADILAN akan mensasarkan pengurangan jumlah penganggur berdaftar sebagai misi utama dasar ekonominya,” kata Wan Azizah.

Strategi ketiga pula, berfokus kepada peneroka Felda yang diperincikan dalam manifesto Janji Palong yang dilancarkan Anwar minggu lepas.

“Strategi ketiga ialah mengembalikan hak warga Felda yang diperah keringat tetapi tidak mendapat untung sama rata.

“KEADILAN baru-baru ini melancarkan Janji Palong sebagai dokumen rasmi penawaran kepada warga Felda menjelang PRU-13,” kata Wan Azizah.-KD

Tiada ulasan: