Pengikut

Isnin, 12 September 2011

PRU-13: AMK sudah senarai pasti bakal calon

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah memuktamadkan senarai bakal calonnya untuk diturunkan pada pilihan raya umum ke-13, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, senarai nama itu bersama kawasan bakal ditandingi telah pun diserahkan kepada pucuk kepimpinan pusat untuk membuat keputusan akhir.

Sehubungan itu beliau juga berkata Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan mengekalkan wakil mereka yang telah memenangi pilihan raya umum tiga tahun lalu.

Calon-calon yang telah dikenal pasti itu berusia antara 25 dan 40 tahun.

Kata Shamsul Iskandar (gambar), pihaknya menyerahkan sehingga 25 nama untuk bertanding di peringkat Parlimen dan 40 nama lagi untuk bersaing kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada pilihan raya umum 2008, Angkatan Muda Keadilan (AMK) diwakili oleh sekitar 15 calon di peringkat Dewan Rakyat dan 20 lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri, kata Shamsul Iskandar.
PKR bertanding di 97 kawasan Parlimen dan 176 kawasan Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 2008.

The Malaysian Insider difahamkan kemungkinan ada calon yang pernah bertanding atau memenangi kerusi Parlimen akan dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan sebaliknya.

“Kita telah mencadangkan kedua-dua nama dan kerusi untuk ditandingi kali ini. Nama-nama ini dikemukakan bulan lalu dan kami menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk membuat keputusan mutkamad... bila keputusan akhir akan dicapai, kami serahkan kepada mereka (kepimpinan pusat),” kata Shamsul Iskandar ketika ditemui The Malaysian Insider.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan pada senarai akhir nanti, mengambil kira pertimbangan yang akan digunakan oleh Biro Politik kelak.

Beliau yang juga pengerusi PKR Melaka mengakui nama-nama itu dan kerusi yang hendak ditandingi mereka belum dibincangkan bersama kepimpinan muda komponen Pakatan Rakyat.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, kemungkinan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Mengambil kira perkembangan sebelum ini yang menyaksikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen keluar parti, Shamsul Iskandar berkata, pihaknya mengambil langkah lebih berhati-hati dalam memilih bakal calon kali ini.

“Memang diakui ramai yang cadangkan (nama mereka) untuk bertanding dan kita berhati-hati agar pengalaman lama tidak berulang.

“Dan, tentunya satu kriteria ialah kemampuan calon untuk menyelesaikan masalah rakyat... ini dibuat berdasarkan laporan gerak kerja mereka,” kata beliau.

Kata beliau, pihaknya turut mengambil kira kematangan berpolitik, latar belakang pendidikan dan komitmen mereka sebagai kriteria tambahan dalam memilih bakal calon.

Tiada ulasan: