Pengikut

Selasa, 7 Jun 2011

Pertahan prinsip keluhuran beragama, sanggah faham melampau-Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya rakyat mempertahankan prinsip keluhuran beragama dan menyanggah faham melampau yang cuba dicetuskan sesetengah pihak.


Menurutnya, Islam sendiri merupakan agama yang menjunjung prinsip keadilan, cintakan keamanan, menghormati hak penganutnya dan juga hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.

“Makanya berteraskan kefahaman Islam yang tepat, penghayatan agama yang tuntas oleh umat Islam untuk memastikan cara hidup yang berintegriti. Umat Islam yang mahu memenuhi maksud ihsan dan keadilan sebagaimana yang sering dianjurkan pastinya menolak penindasan, rasuah serta segala bentuk penyelewengan,”  tegas Anwar.

Dengan nada yang sama, katanya, KEADILAN juga menyanggah fahaman melampau di kalangan penganut agama yang tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Maka kepada wakil wakil badan Islam serta agama agama Buddha, Kristian, Hindu dan lainnya, kami ingin mengulangi komitmen mempertahankan prinsip keluhuran hidup beragama yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan,” tegas Anwar dalam satu kenyataan media sempena pertemuan dengan anggota Majlis Agama-Agama diketuai Rev Dr Thomas Phillips di Petaling Jaya Selangor malam tadi.

Justeru, Anwar menyanggah pimpinan Umno dan media kongkongannya yang disifatkan tidak mempunyai kefahaman Islam yang tepat, apabila berterusan menimbulkan persengketaan antara agama dengan tujuan menakut-nakutkan umat Islam.

“Oleh itu tidak hairanlah ramai dari kalangan umat Islam kesal dengan sikap pimpinan Umno serta media kongkongannya yang tidak konsisten dalam penghayatan agamanya. Apatah lagi rasuah dan penyelewengan kuasa masih berleluasa.

“Mutakhir ini, ada pimpinan Umno dan media yang dimilikinya mencuba menggugat keamanan antara penganut agama di Malaysia dengan retorika perkauman sempityang tajam, dangkal dan tidak berasaskan prinsip Keadilan sebagaimana dianjurkan Islam. Upaya mereka semata mata mahu menakut-menakutkan umat Islam serta menimbulkan prasangka antara kita,”

“Kita kesal kerana retorika serta propaganda pimpinan Umno dan media yang dimilikinya hanya membantutkan usaha baik dari kalangan kita demi memenuhi maksud pesan Li ta’arafu, iaitu berusaha kenal mengenali antara kita yang berbeza kepercayaan dan budaya,” kata Anwar.

Tiada ulasan: