Pengikut

Jumaat, 5 Ogos 2011

Fitnah II: Najib, Rosmah berdolak dalik elak ke mahkamah – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR:  Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir ke mahkamah dalam kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Izzah berkata,  Najib dan Rosmah perlu berbuat demikian supaya dapat membersihkan nama yang terpalit sebagai dalang dan konspirator dalam kes berkenaan.

“Seharusnya tidak ada masalah untuk datang ke mahkamah, kemukakan dan bagi bukti. Pada saya, kalau boleh jumpa si pengadu sebelum kes berlangsung, takkan tidak (boleh jadi saksi) , lebih-lebih lagi tampil di mahkamah untuk kemukakan keterangan,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Ditanya sekiranya Najib dan Rosmah berdolak dalik untuk tidak hadir ke mahkamah, beliau menyifatkan tindakan itu sememangnya sinonim dengan karektor pemimpin BN.

“Dolak-dalik adalah perkara yang konsisten di bawah kerajaan Barisan Nasional, saya tidak begitu optimis, tapi saya mengharapkan  respon positif daripada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas  sidang media dengan Persatuan Komuniti Peniaga Brickfields (BBCS) .

Najib sebelum ini bertemu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008, dua hari sebelum beliau membuat laporan polis mendakwa diliwat.

Beliau turut bertemu pembantu peribadi Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar seperti mana yang didedahkan pegawai penyiasat DSP Jude Pereira ketika perbicaraan Mac lalu.

Kelmarin, Najib dan Rosmah enggan hadir sebagai saksi dalam kes perbicaraan itu, kecuali dengan sepina mahkamah.

Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos untuk membuat keputusan berhubung permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain Najib dan Rosmah, Anwar mahu menemubual bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan Hasanuddin Abd Hamid, pemilik unit kondominium di mana kejadian liwat didakwa berlaku.

Anwar juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum memberikan keterangan pada Isnin. Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos.

Tiada ulasan: