Pengikut

Khamis, 12 April 2012

Anwar mahu realisasikan pendidikan percuma ganti PTPTN

DATUK Seri Anwar Ibrahim (kanan) menegaskan kepemimpinan Pakatan Rakyat mahu merealisasikan pendidikan percuma, bukan sekadar memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang cuba digagalkan oleh rundingan meja bulat pemuda Umno.

Ketua Pembangkang itu berkata, Pakatan Rakyat mempunyai kaedah pemansuhan 'skim beban mahasiswa', antaranya menggunakan dana RM70 bilion hasil Petronas.

Beliau berkata, langkah penjimatan di samping menolak gejala rasuah - tidak seperti pentadbiran kerajaan pusat sekarang - hakikatnya boleh menyumbang pada langkah pemansuhan PTPTN ini.

Anwar turut mencadangkan satu rundingan berhubung subsidi RM20 bilion membabitkan syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dilakukan memandangkan kadar yang dipersetujui oleh pemimpin Umno BN sekarang terlalu tinggi serta tidak wajar diamalkan.

"PTPTN ini bukan isunya, tetapi isu pendidikan percuma kepada rakyat adalah lebih penting untuk dilaksanakan. Ramai yang kata Anwar boleh janji macam-macam, tetapi janji saya pasti akan dikotakan, termasuk janji menurunkan harga minyak 24 jam selepas kita memerintah," kata Anwar ketika berucap pada program pidato pendidikan percuma di Seksyen 7 di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pas dari Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Petang semalam, Ketua Pemuda Umno hairy Jamalud (gambar kiri, paling kanan) mengemukakan 11 resolusi, termasuk mahu menghapuskan kadar 1 peratus caj perkhidmatan yang ditanggung oleh peminjam.

Kesemua 11 resolusi itu tidak menjurus pada hasrat mahasiswa Malaysia untuk memansuhkan PTPTN sebagaimana yang disuarakan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebelum ini.

Manakala Ketua Strategik PKR Rafiz Ramli pula mengulangi tekad pembangkang untuk merombak sistem itu pada skim biasiswa sebelum merealisasikan sistem pendidikan percuma di negara ini.

Rafizi menegaskan kerajaan hanya perlu menanggung RM24.7 bilion jika skim pinjaman itu dimansuhkan sebagaimana didesak pihaknya.

Sehubungan itu, katanya, jumlah itu jauh berbeza berbanding angka RM43 bilion yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Johor, Sabtu lalu.

Isu PTPTN dijangka akan menjadi modal kempen Pilihan Raya Umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pemansuhan PTPTN boleh dilakukan dengan mengadakan perbincangan bersama pihak bank yang terlibat dan membayar secara berperingkat jumlah tunggakan pinjaman terbabit.

"Kita bukannya akan terus bayar RM43 bilion kepada bank, sebaik sahaja menang di Putrajaya, kita bincanglah dengan pihak bank, berapa tunggakkan satu tahun, kita bayar RM5 bilion setahun," katanya.

-PenangInsight

Tiada ulasan: