Pengikut

Jumaat, 17 Jun 2011

Bersih 2.0: Pemuda Umno cari publisiti murahan- AMK



KUALA LUMPUR: Pengumuman Pemuda Umno untuk menganjurkan perhimpunan pada 9 Julai ini, dianggap sengaja mencari publisiti murahan, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semalam, yang mengumumkan akan turut mengadakan perhimpunan pada tempat dan tarikh yang sama perhimpunan Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih 2.0).

“Khairy tidak perlu mencari publisiti murahan dengan mengadakan perhimpunan di tempat dijadualkan Bersih kerana ingin menyokong sistem pilihan raya sedia ada dan mahu bekerjasama dengan SPR untuk melakukan penambahbaikan.

“Sekiranya beliau ingin mengadakan demonstrasi juga, saya sarankan supaya pilih tarikh lain dan jangan menyibuk semasa kami ingin berhimpun. Hari tersebut bukan kita mahu lihat pesta demo,” kata Shamsul ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Kata beliau, Khairy sepatutnya sedar agenda dibawa BERSIH 2.0 adalah untuk menuntut reformasi dalam sistem pilihan raya di Malaysia dan bukannya sesuka hati mahu mengadakan demonstrasi.
“Isu kita lebih penting berbanding apa yang ingin dilakukan Pemuda Umno, mereka perlu sedar kita mahu adakan demo untuk reformasi, adil dan telus dalam pilihan raya.

“Kalau Khairy mahu adakan perhimpunan memberi sokongan kepada SPR, saya rasa Khairy boleh pilih hari lain, tetapi kita tidak tahu jika niatnya mahu membuat gangguan pada hari itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda Umno mengambil langkah tersebut selepas mengetahui Perkasa juga akan terbabit dalam perhimpunan itu.

Ia katanya, bertentangan sama sekali dengan pendirian Pemuda Umno terhadap Perkasa sebelum ini, yang dianggap sering menentang prinsip 1 Malaysia yang dibawa perdana menteri.

“Apabila tahu Perkasa  yang dikatakan mahu turun berdemo, mereka juga sibuk untuk mengadakan perhimpunan juga, ini membuktikan Umno tidak pernah bertegas untuk Perkasa,” kata beliau.

Sementara itu, Shamsul sekali lagi mengingatkan Khairy yang pernah menyelar perhimpunan  Bersih yang diadakan pada 2007 apabila menyifatkan orang yang turun berdemo sebagai ‘beruk jalanan’.

“Dulu bukan main lagi Khairy cakap orang yang turun berdemo seperti beruk dijalanan.

“Tidakkah beliau lupa dengan kenyataan itu? Ini membuktikan Pemuda Umno tiada prinsip,” ujarnya.

Tiada ulasan: