Pengikut

Khamis, 16 Jun 2011

Anwar kembali ke gelanggang Dewan Rakyat


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat kembali semula ke Dewan Rakyat selepas digantung selama enam bulan kerana mendedahkan khidmat firma perunding antarabangsa, APCO Worldwide dalam kerajaan. 

Anwar bersama Azmin Ali (Gombak), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Karpal Singh (Bukit Gelugor) disambut dengan meriah ketika tiba di parlimen.

Kehadiran Anwar dan tiga lagi ahli parlimen berkenaan turut mencuri tumpuan media. Mereka dilihat turut dihadiahkan jambangan bunga oleh penyokong Pakatan di lobi parlimen.



Anwar yang diiringi pegawai peribadinya, kelihatan bersemangat dan dilihat berbual mesra sambil bertanya khabar dengan ahli-ahli parlimen yang menunggu ketibaan beliau.

Dalam masa yang sama, beliau sempat bertemu dan dilihat berbual dengan Azmin Ali, Sivarasa Rasiah dan Karpal Singh yang sebelum ini menerima nasib yang sama.

Ketika media cuba mengajukan beberapa soalan, Anwar dengan nada bergurau menyatakan tiada apa yang perlu diulas.

Pada 16 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Anwar dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan.

Ia berhubung pendedahan Anwar mengenai konsep 1Malaysia, yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, meniru konsep One Israel yang diilhamkan oleh APCO Worldwide, sebuah syarikat pro Israel.

Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung kerana menghina dewan apabila menyokong Anwar dan menuntut speaker membenarkan Ketua Umum KEADILAN itu mempertahan diri.

Tiada ulasan: