Pengikut

Jumaat, 22 April 2011

AMK desak Jawi dakwa trio Datuk T

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) agar mengambil tindakan segera menyiasat trio Datuk T berhubung tuduhan qazaf yang dilaporkan ke atas mereka. 
 “Mengapa sehingga hari ini, ketiga-tiga trio Datuk T ini tidak dipanggil, sedangkan laporan telah dibuat. Ini merupakan kali kedua kami dipanggil. Isnin lalu, Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar telah memberikan keterangan.

“Keterangan yang kami berikan tidak bermakna sekiranya Jawi hanya berdiam diri dan membiarkan fitnah berleluasa, sedangkan pihak yang difitnah tidak mendapat pembelaan,” kata Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Mohd Hamdi Mohd Said.




Terdahulu, beliau memberikan keterangan tambahan berkenaan dakwaan qazaf terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thambi Chik, Datuk Shazril Eskay dan Datuk Shuib Lazim.

Turut dipanggil ialah Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip.

Kedua-dua mereka memberikan keterangan secara berasingan lebih satu jam di Ibu Pejabat Jawi hari ini oleh Penolong Pengarah Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Farah Wahida Zulkiflee bersama dua lagi pegawai Norjihan Salleh dan Ruslida Rusli.

Dalam pada itu, Rozan menambah, menurut perundangan syariah, mana-mana dakwaan melibatkan tuduhan ke atas seseorang perlu mengemukakan empat orang saksi yang tidak fasik.

Rozan juga memaklumkan soalan yang ditanyakan berkisar hubungan mereka dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peliknya, sehingga hari ini ketiga-tiga mereka tidak dipanggil. Sebagai orang Islam, kita perlu membela orang lain daripada dimalukan,” kata Rozan.

Rozan memaklumkan, kebarangkalian bahawa Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul akan turut dipanggil oleh Jawi untuk memberikan keterangan.

Tiada ulasan: