Pengikut

Jumaat, 17 Februari 2012

Peluang dapat lebih banyak dokumen NFC di mahkamah - Rafizi

KUALA LUMPUR 16 Feb: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata saman yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC) adalah peluang terbaik rakyat untuk tahu lebih banyak maklumat berkenaan isu tersebut.

Menurutnya, apabila kes itu dibicarakan kelak, Shahrizat dan keluarganya sudah tentu perlu mendedahkan dokumen-dokumen berkaitan perjalanan kewangan NFC, sekiranya dikehendaki oleh mahkamah.

“Isu ini bukan satu isu peribadi dan saya sebelum ini sebutkan yang saya ‘teruja’ (untuk berhadapan dengan saman ini) kerana ini adalah peluang untuk kita semua dapatkan lebih banyak dokumen (NFC).

“(Kes saman ini) ada kebaikannya untuk orang ramai,” kata Rafizi kepada KeadilanDaily.

Rafizi dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin hari ini diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjawab saman Shahrizat menjelang 9 Mac ini.

Sebelum ini, empat peguam dilantik mewakili mereka iaitu Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Gopal Sreenevasan.

Bercakap lanjut, Rafizi (kanan) berkata persiapan untuk menghadapi saman dari menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu sedang berjalan dengan lancar.

Beliau juga menegaskan sekali lagi yang beliau tidak gentar berhadapan Shahrizat kerana KEADILAN sememangnya mempunyai bukti-bukti kukuh berkenaan salah urus kewangan NFC.

“Kita sudah duduk dengan peguam sejak dua minggu lepas berbincang dan meneliti kes ini. Malah, peguam-peguam yang dilantik juga adalah peguam-peguam yang berpengalaman

“Saya yakin Shahrizat sebenarnya tidak ada kes kerana kita ada bukti kukuh (tentang NFC),” kata beliau.

Menurutnya lagi, persiapan yang dilakukan juga meliputi kes-kes lain berkaitan NFC yang mungkin akan turut terdedah kepada umum apabila perbicaraan itu berlangsung kelak.

“Kita sedang mengumpul bukti bukan sahaja berkaitan NFC tetapi juga kes-kes lain.

“Kita ada dua minggu lagi untuk bersedia dan saya berpuas hati,” kata Rafizi. -KD

Tiada ulasan: