Pengikut

Jumaat, 11 November 2011

Enggan sahut debat Anwar, Najib kecewakan rakyat

KUALA LUMPUR 11 Nov : Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan ketua pembangkang mengewakan rakyat terutamanya anak muda, kata Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Ini kerana katanya, debat Belanjawan itu sangat penting supaya rakyat boleh menilai prestasi antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum nanti.

“Jika dia (Najib) seorang PM yang mempunyai integriti dia sepatutnya respon dan tidak perlu takut. Rakyat (terutamanya) anak muda berhak untuk tahu tentang isu belanjawan ini. Ini adalah isu rakyat,” kata Syed Badli.

Tegasnya, Najib sepatutnya menyahut cabaran debat berkenaan agar maklumat sebenar mengenai belanjawan dapat disalurkan terus kepada rakyat, memandangkan liputan media alternatif yang terhad.

“Rakyat, lebih-lebih lagi anak muda mempunyai media sangat terhad, saya kira kalau media terbuka dan perbahasan itu dianjurkan, ini amat penting supaya rakyat dapat menilai maklumat,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata keenganan Najib itu disebabkan beliau tidak mampu menjawab isu yang ditimbulkan.

Sebelum ini, Anwar mempelawa Najib yang juga Menteri Kewangan, agar berdebat berhubung kenyataannya yang memperlekehkan belanjawan Pakatan Rakyat.

Anwar berkata, debat itu perlu disiarkan secara langsung supaya rakyat dapat menilai antara Belanjawan Pakatan dan Belanjawan 2012 yang dibentang kerajaan.

Sementara itu Pengarah Skuad AMK, Zafril Mohd Eusoff mengatakan tindakan PM yang tidak berani menyahut cabaran itu sudah dijangka lebih awal.

“Beliau (Najib) akan bagi alasan untuk tidak melayani cabaran ini kononnya Anwar bersifat retorik dan kalau dia terima sekalipun pastinya beliau akan menghantar orang lain sebagai wakil,”

“AMK sebagai pelapis golongan anak muda kecewa kerana PM sebagai pemimpin tidak berani berdebat soal isu rakyat dengan ketua pembangkang,” kata Zafril.

Anwar pertama kalinya mencabar Najib pada 2008 untuk berdebat berkenaan isu minyak namun perdana menteri sebaliknya menghantar Datuk Shabery Cheek sebagai wakil yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Penerangan.

Tiada ulasan: