Pengikut

Selasa, 2 Ogos 2011

Ada sinar di hujung terowong


Ada sinar di hujung terowong itulah yang dapat digambarkan apabila membicarakan mengenai perhimpunan Bersih 9 julai lepas.
Perhimpunan yang dikatakan menyebabkan Kuala Lumpur seperti dilanggar garuda, malah akan berulang peristiwa 13 Mei.

Paling menyedihkan, Bersih 2.0 dikaitkan dengan komunis sehingga enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan sebulan di bawah Ordinan Darurat (EO), dikatakan menerima dana daripada Kristian, dikatakan hendak menjatuhkan kerajaan dan kononnya di dalangi parti-parti pembangkang.

Pelbagai tekanan dikenakan kepada pemimpin-pemimpin bukan kerajaan, pejabat di serbu, peralatan dirampas dan sukarelawan ditahan, baju kuning berlogokan Bersih 2.0 diharamkan, malah ketakutan kepada warna kuning ini menyebabkan sesiapa yang memakainya ditahan tanpa usul periksa.

Pembuka kepada penerimaan untuk pilihan raya yang bersih dan adil ini selepas dimomokkan sebagai sesuatu yang buruk dan jahat kerana keinginan rakyat mahu ia dilaksanakan dan Sinar Harian telah membuka langkah berani untuk memulakan dialog ‘Apa Selepas 9 Julai’ dan disitu barulah kita disedarkan bahawa gelombang kuning melonjak kini.

Inilah kesedaran yang ditunjukkan oleh semua, tidak ada alasan boleh diterima dan keinginan ini tidak boleh disekat-sekat lagi.

Sekeras-keras kerak nasi akhirnya akhirnya kita nampak perubahan yang ketara, iltizam, keinginan dan wawasan rakyat mampu melunakkan kekerasan jiwa pemimpin-pemimpin kerajaan, mereka bersedia untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil.

Inilah yang kita mahukan, kita mahukan sesuatu yang baik untuk negara, untuk menjadikan Malaysia sekali lagi sebagai contoh sebuah negara yang mendukung kehendak rakyat.

Pemimpin-pemimpin yang menafikan perkara ini pastinya akan ditinggalkan keretapi kerana pilihan raya yang bersih dan adil memberi peluang kepada semua untuk membuktikan bahawa sesiapa yang terpilih untuk memerintah negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) dipilih melalui pilihan raya yang bersih dan adil.

Kita harus menolak sebarang tindakan kotor yang bukan sahaja akan mencemarkan negara ini tetapi mencemarkan kepimpinan kita sendiri, maka tuntutan untuk membersihkan pilihan raya ini harus dilakukan melangkau latar belakang kepartian.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlu bergerak seiring serta sehaluan untuk memastikan pilihan raya akan datang adalah bersih serta adil kerana ia adalah kemahuan, kehendak dan keinginan rakyat.

Jangan nafikan hak rakyat untuk mendapat tuntutan yang boleh kita berikan kepada mereka kerana mereka boleh menghukum kita walaupun dalam seribu kepayahan, jangan diuji kekentalan rakyat kerana ia telah dibuktikan pada 9 Julai lepas, jangan diuji kesabaran rakyat kerana ia seperti bara dalam sekam.

Sempena bulan mulia - Ramadan yang mubarak ini dengan meminjam tulisan Dr Zaharuddin Abdul Rahman, pensyarah di Universiti Islam Malaysia mengenai ibadah puasa.

“Objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. 

Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan’ ternyata dari hadis sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada Nabi SAW doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar baginda ialah meminta keampunan Allah SWT.”

Sebagai pemimpin yang bertakwa marilah kita laksanakan amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT dan rakyat yang memilih kita dengan memastikan bahawa SPR perlu bebas dalam melaksanakan bidang kuasanya, kerajaan dan pakar-pakar undang-undang dan tentunya rakyat memberi khidmat kepada SPR untuk memastikan pilihan raya yang akan dilaksanakan dengan bersih dan adil. 

Kerajaan sekiranya benar-benar telus perlu berfikir bagaimana ingin membebaskan SPR dari kekangan ini.

Sesungguhnya rahmat Allah SWT di bulan Ramadan yang mubarak ini amat lah luas, ia pemberi harapan baru kepada harapan yang hampir-hampir dimusnahkan tetapi kita sebagai hamba perlu terus berpegang kepada janji Allah bahawa akan sentiasa ada sinar di hujung terowong.

* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai

Tiada ulasan: