Pengikut

Jumaat, 29 April 2011

KEADILAN kemuka bukti imej palsu Anwar

PETALING JAYA: KEADILAN hari ini mengemukakan bukti bergambar bahawa imej individu yang dikatakan sebagai Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam video fitnah adalah palsu.

Dalam sidang media di ibu pejabat Keadilan di Tropicana hari ini, Pengarah Komunikasi Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad menunjukkan gambar imej  potongan rambut individu di dalam video tersebut jauh berbeza dengan Anwar.

“Dalam video ini, rambut individu tersebut adalah ‘slope’ dan lebih nipis dari Anwar. Kalau kita lihat satu lagi gambar yang diambil ketika Ketua Umum di mahkamah, begitu hebat sekali rambutnya kerana tumbuh begitu cepat.

“Gambar kedua ini tidak pula kita nampak begitu pendek seperti gambar yang pertama.

“Ini merupakan satu lagi percanggahan yang dibuktikan, bahawa Umno memang sengaja dan berniat busuk untuk menjatuhkan maruah keluarganya,” ujar Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Keadilan, Tian Chua berkata, perbuatan melakukan sumpah laknat yang akan dilakukan oleh penyebar video fitnah oleh Datuk Shazril Eskay bukan sahaja tindakan yang menghina agama, bahkan membelakangkan prosedur undang-undang.

“Ini merupakan perkara yang amat memalukan kerana mereka ingin memperlekeh dan mencemar kesucian institusi agama dan rumah ibadat.

“Saya turut mendapat aduan dan rungutan dari penduduk di  Bandar Baru Sentul, iaitu di kawasan Parlimen Batu yang saya wakili.

“Difahamkan oleh kawan-kawan, warga di kawasan Sentul rasa terhina kerana Eskay cuba mempermainkan kesucian rumah ibadat dan mereka akan bersuara dan mendeak untuk tidak gunakan masjid di kawasan mereka,” kata Tian.

Polis kempen burukkan Anwar

Dalam sidang media yang sama, Nurul Izzah membuat pendedahan bahawa beliau mendapat maklumat tentang tindakan seorang pegawai kanan polis, SAC 1 Datuk Dr Isa Abd Rahman yang telah pergi ke sekolah-sekolah di Kelantan dan menyatakan kepada guru-guru bahawa Anwar adalah ancaman kepada keselamatan negara.

Pegwai polis itu juga katanya, turut menyatakan  watak di dalam video yang disebarkan adalah Anwar.
“Kita mendapat sendiri maklumat ini dari para guru yang memaklumkan kepada kita.

“Difahamkan bahawa, pihak polis selama 4 minggu berturut-turut telah menjelajah ke seluruh negeri kelantan untuk bersyarah mengenai perkara ini,” kata Nurul izzah.

“Kita menolak politik lucah yang dibawa. Dalam masa yang sama kami mengecam tindakan pegawai tinggi polis yang seolah-olah mendapat sokongan daripada pimpinan kerajaan,” katanya.

Izzah berkata pihaknya akan membuat laporan dan bantahan rasmi terhadap pegawai tersebut dan Kementerian Pelajaran.

Tiada ulasan: