Pengikut

Selasa, 8 Mac 2011

Mahathir pembohong besar

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pelbagai dakwaan dibuat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam buku autobiografinya yang dipasarkan bermula hari ini. 
 
“Dr Mahathir pembohong besar, (dengan) amnesia yang selektif,” kata Anwar kepada The Malaysian Insider menerusi e-mel hari ini menjawab perkara-perkara disentuh bekas ketuanya itu dalam buku tersebut.

Kata Anwar , dakwaan-dakwaan yang digariskan Dr Mahathir dalam bukunya bukan sesuatu yang baru dan secara konsisten telah menjawab perkara tersebut sejak sebelum dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

“Saya telah menafikan dakwaan ini secara terbuka sejak 1997.

“Rujukan beliau kepada empat wanita, saya nafikan,” kata Ketua Umum PKR ini.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen juga berkata beliau tidak mengulas dakwaan berhubung aktiviti homoseksual kerana dari segi “konteks” yang sebenar telah pun menafikan dakwaan berkaitan hubungan seks melibatkan empat wanita.

“Dalam konteks itu, saya tidak menyebut mengenai (dakwaan) liwat,” kata Anwar lagi.

Dalam bukunya ini, Dr Mahathir menulis bahawa beliau memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri atas dua sebab iaitu tidak layak untuk berkhidmat dalam kerajaan dan juga untuk menggantikannya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun Anwar menegaskan bahawa pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri ekoran keputusan dibuat oleh beliau selaku pemimpin nombor dua ketika itu.

“Keputusan berhubung pemecatan saya: keputusan saya agar Price Waterhouse Coopers menyiasat penyelewengan kewangan melibatkan Tan Sri Eric Chia dan Perwaja,” kata Anwar.

Malah Anwar juga berkata Dr Mahathir menganggapnya sebagai ancaman dan bimbang akan mencabarnya kerana tahu tentang rasuah di kalangan keluarga Dr Mahathir.

“Kebimbangan akan dicabar: saham-saham dan kontrak-kontrak kepada Mokhzani (Mahathir) dan Mukhriz (Mahathir) serta ‘bailout’ bagi Mirzan (Mahathir),” tambah Anwar.

Dr Mahathir mendakwa Anwar telah dibekalkan empat wanita untuk mengadakan hubungan seks sebelum beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Bekas timbalan presiden itu berkata beliau ada menemu bual wanita-wanita yang memberitahunya bahawa mereka telah dibawa untuk mengadakan hubungan seks dengan timbalannya ketika itu, yang kemudian didakwa dan dihukum penjara berhubung tuduhan kes liwat dan salah guna kuasa.

Dr Mahathir menulis bahawa merema dipujuk agar berbuat demikian oleh seorang lelaki India bersama Nalla, dipercayai Datuk K. S. Nallakarupan, ketika itu rakan Anwar.

Nallakarupan telah memutuskan hubungan dengan Anwar selepas pemilihan PKR tahun 2007.

“Dia telah membawa setiap perempuan secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di sana mereka bertemu dengan seorang yang (mereka) kenalinya sebagai timbalan perdana menteri.

“Mereka telah diminta menanggalkan pakaian untuk tujuan mengadakan hubungan seks,” tulis Dr Mahathir.

“Dua daripada mereka enggan (mengadakan hubungan seks) tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka sudi untuk bercakap kepada polis dan kepada saya tetapi berkeras tidak mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan,” kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata beliau memanggil pemimpin-pemimpin Umno termasuk ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar ke kediaman rasminya Sri Perdana di sini untuk memberi taklimat mengenai perkara itu dan menunjukkan mereka gambar para saksi.

“Dia mengisytiharkan dia tidak melakukan sesuatu yang luar biasa dan menegaskan bahawa setiap orang termasuk kesemua ahli Majlis Tertinggi memang ada berbuat demikian,” tulis Dr Mahathir mengenai pendirian Anwar membela dirinya di hadapan kepimpinan tertinggi Umno.

“Ketika penjelasan panjang lebar, Anwar tidak pernah dirujuk kepada soal hubungan homoseks, hanya fokus hubungan dengan wanita,” katanya.

Anwar kini berhadapan dengan tuduhan kes liwat kali kedua.

Tiada ulasan: